Sabtu, 15 Jun 2019 | 2:36pm
Anggota keluarga menziarahi jenazah Allahyarham Abdullah di Taman Seri Gombak, hari ini.
Anggota keluarga menziarahi jenazah Allahyarham Abdullah di Taman Seri Gombak, hari ini.

Meninggal dunia di masjid sebelum solat Subuh

GOMBAK: Seorang pesara polis meninggal dunia dipercayai sesak nafas ketika menunggu waktu solat Subuh di Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, di sini, pagi ini.

Sarjan (B) Abdullah Salleh, 69, dikatakan rebah ketika duduk menunggu azan Subuh dan jemaah masjid yang menyedari kejadian itu cuba membantunya namun dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.50 pagi.

Isterinya, Ruslin Annuar, 69, berkata suaminya keluar dari rumah jam 5.20 pagi untuk ke masjid yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari kediaman mereka.

“Sudah menjadi rutin arwah suami menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid itu. Dia hanya berdiam diri ketika bangun dan saya menghantarnya ke pintu sehingga dia bergerak ke masjid menggunakan kereta.

“Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan daripada jemaah masjid yang meminta datang segera. Sebaik sampai di masjid, suami sudah meninggal dunia.

“Saya reda dengan pemergiannya yang ‘pergi’ dengan cara baik di masjid ketika menunggu solat Subuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Gombak di sini.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Khairiyah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata selepas solat Asar.

Berita Harian X