Sabtu, 15 Jun 2019 | 7:17pm
PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

4 Orang Asli di Rembau disahkan dijangkiti Influenza B

SEREMBAN: Empat daripada lima pesakit Orang Asli yang dimasukkan ke Hospital Tampin selepas disyaki dijangkiti gejala penyakit seperti Influenza (ILI), disahkan dijangkiti virus Influenza B.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali, berkata ia berdasarkan keputusan sampel sapuan tekak yang diambil daripada semua pesakit itu.

Katanya, pada Rabu lalu semua pesakit itu dimasukkan ke hospital dan kini keadaan mereka bertambah baik, malahan tiada kes baru dan kematian dilaporkan berlaku setakat ini.

“Bagaimanapun, pemantauan masih diteruskan di lokasi penyebaran virus itu iaitu di rumah kongsi Kampung Kendong Baru, Kota, Rembau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zainudin berkata, virus Influenza B sering berlaku dalam komuniti dan tanda awal dijangkiti virus itu ialah demam, selesema dan batuk.

Katanya, penyakit itu sangat mudah berjangkit kerana virus boleh tersebar menerusi air liur apabila batuk, bersin atau bercakap dan boleh menjadi serius sekiranya tidak dirawat jika membabitkan kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung serta pesakit paru-paru kronik seperti asma.

Khamis lalu dilaporkan seramai 14 pekerja ladang tembikai termasuk lima Orang Asli disyaki dijangkiti gejala penyakit ILI di rumah kongsi di Kampung Kendong Baru, Kota, Rembau.

Semua pesakit, termasuk warga Bangladesh dan Indonesia itu mengalami demam, batuk dan selsema, manakala seorang mengalami gejala sesak nafas.

Lima orang Asli berusia tujuh sehingga 32 tahun, termasuk dua beranak mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, manakala sembilan yang lain iatu empat Orang Asli , tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia diberikan rawatan pesakit luar.

Berita Harian X