Ahad, 16 Jun 2019 | 5:17pm
KHALID Abdul Samad sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Wangsa Maju di Kampung Puah, Gombak. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Laporan projek Taman Rimba Kiara diserah esok

KUALA LUMPUR: Laporan berhubung projek pembangunan Taman Rimba Kiara sudah disiapkan dan akan diserahkan kepada kementerian berkaitan esok untuk tindakan lanjut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pelantikan kertas laporan itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti.

“Laporan (projek Taman Rimba Kiara) sudah siap dan esok saya akan agihkannya kepada kementerian berkaitan yang relevan. Jika saya tidak silap ada lima atau enam kementerian yang terbabit.

“Kita juga akan menyerahkan laporan terbabit kepada Jabatan Peguam Negara. Selepas itu mereka akan pulangkan laporan itu kepada saya sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Kelab Kebajikan MAB dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di sini, hari ini.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Sementara itu, Khalid berkata, kementeriannya akan mempelbagaikan usaha mendidik masyarakat berhubung kemudahan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) terutama membabitkan cacat penglihatan.

“Masih kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung ‘tactile’ (laluan khas untuk cacat penglihatan). Ramai menganggap pemasangan itu sekadar mencantikkan laluan pejalan kaki sebaliknya ia khas untuk orang cacat penglihatan.

“Ada antaranya yang menghalang laluan `tactile’ terbabit sehingga menyukarkan golongan berkenaan. Kita akan mendidik masyarakat dengan memasang lebih banyak papan tanda supaya mereka tahu kegunaan `tactile’,” katanya.

Berita Harian X