Rabu, 19 Jun 2019 | 6:16pm
Mangsa ribut, Aminah (kiri) bersama anaknya, Aziemah Mohamad Adam terpaksa menggunakan kanvas untuk menutup bumbung rumah mereka yang diterbangkan angin di Kampung Kubang Bemban. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Mangsa ribut, Aminah (kiri) bersama anaknya, Aziemah Mohamad Adam terpaksa menggunakan kanvas untuk menutup bumbung rumah mereka yang diterbangkan angin di Kampung Kubang Bemban. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

11 rumah rosak akibat ribut

JERTIH: “Saya sempat dengar bunyi kuat kepala angin berpusar dari arah sawah tepi rumah sebelum beberapa bumbung rumah diterbangkan angin,” kata Aminah Abdullah,60.

Aminah, penduduk Kampung Kubang Bemban di sini, berkata kejadian sekitar jam 5.30 petang semalam ketika dia bersama sembilan ahli keluarga berehat di ruang tamu.

“Beberapa anak dan cucu sedang menonton televisyen, ada yang bermain sesama mereka ketika angin kuat disertai ribut kencang melanda hanya beberapa saat dan menerbangkan bumbung di bahagian rumah tamu, bilik dan dapur,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, sejak menyewa di rumah itu lebih lima tahun lalu, kejadian ribut semalam adalah yang pertama dialami mereka sekeluarga.

“Selepas bumbung diterbangkan angin, hujan lebat menyusul menyebabkan hampir sebahagian barang dan peralatan dalam rumah basah hingga terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

“Buat sementara, saya guna kanvas untuk melindungi barang di ruang tamu sehingga dapat bantuan baik pulih bumbung. Jika diikutkan lebih 20 keping atap perlu digantikan,” katanya.

Anaknya, Aziemah Mohamad Adam, 28, yang tiada di rumah ketika bencana itu, bersyukur kerana keluarganya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Besut, berkata, sebanyak 11 rumah di daerah ini termasuk tiga di Kampung Kubang Bemban rosak akibat kejadian terbabit.

Katanya, dua daripada kediaman berkenaan adalah di Kampung Bukit Jeruk serta masing-masing sebuah di Bukit Tanah, Tasik Nibong, Padang Luas Dalam, Pak Da Malik, Berhala Tambun Nyior Tujuh, dan Pekan Sari Tembila.

Berita Harian X