Khamis, 20 Jun 2019 | 9:00pm
PENGARAH Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn (kanan) di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.

Karya pelukis terkenal bakal curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Lukisan dihasilkan Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal antara karya yang bakal mencuri tumpuan pada lelongan eksklusif di Galeri Prima di sini, minggu depan.

Karya dihasilkan pada tahun 1999 bertajuk ‘Hijrah’ itu memaparkan lukisan abstrak dengan gabungan empat warna terang yang membawa maksud penghijrahan.

Lukisan itu satu daripada 200 karya seni dari sekitar Asia Tenggara yang dipamerkan untuk lelongan di Galeri Prima bermula malam ini sehingga 29 Jun depan.

Harga bidaan bermula daripada RM800 hingga RM350,000 dengan karya Syed Ahmad Jamal antara yang termahal.

Hasil karya lain termasuk oleh Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein dengan nilai bidaan bermula RM300,000 bertajuk ‘Xenobiosis yang dihasilkan pada tahun 1969.


ANTARA karya yang dipamerkan di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.

Antara karya luar negara pula dihasilkan oleh Tay Bak Koi, Ong Kim Seng, Thomas Yeo, Wong Shih Yaw dan Nguyen Tu Nghiem.

Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn, berkata pihaknya menyasarkan jualan kira-kira RM3 juta pada acara lelongan itu nanti.

“Awal tahun ini, kita berjaya mengutip kira-kira RM2.8 juta pada acara lelongan dan kali ini kita menyasarkan jualan yang lebih tinggi.

“Semakin besar nama pelukisnya, semakin lama usianya, semakin tinggi nilainya. Ada yang sanggup membeli kerana nilai estetika yang ada padanya,” katanya.

124 dibaca
Berita Harian X