Khamis, 27 Jun 2019 | 5:23pm
PENGERUSI Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim menyerahkan kit alat kebersihan kepada Orang Asli suku Batek di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani. STR/Ramli Ibrahim.

Jumlah Orang Asli di PPS semakin bertambah

GUA MUSANG: Orang Asli suku Batek yang dijangkiti wabak demam campak di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Taman Etnobotani, di sini yang dibuka 18 Jun lalu, bertambah kepada 72 orang sehingga petang semalam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim, berkata Orang Asli terbabit ditempatkan di situ selepas mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan tidak dibenarkan pulang sementara ke Kampung Kuala Koh.

Beliau berkata bilangan mereka yang ditempatkan sementara di PPS itu membabitkan 22 keluarga dan dijangka akan meningkat kepada lebih 100 orang dalam masa terdekat kerana masih ada yang menerima rawatan di HGM dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Katanya, mereka yang tinggal di PPS itu dikawal supaya tidak bergerak bebas di samping diberi saringan kesihatan setiap hari supaya mereka benar-benar bebas daripada jangkitan wabak penyakit itu sebelum dibenarkan pulang ke rumah mereka nanti.

“Sejak PPS itu dibuka, Orang Asli yang ditempatkan di situ bertambah setiap hari dan kita diberi tanggungjawab menjaga kebajikan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tragedi jangkitan wabak demam campak di Kampung Kuala Koh awal Mei lalu mengakibatkan 15 Orang Asli suku Batek meninggal dunia dan 112 orang lagi menerima rawatan di HGM, HKK, Klinik Kesihatan Chiku 3 dan Klinik Kesihatan Aring 1.

Berikutan kejadian itu, kerajaan terpaksa membuka PPS di Taman Etnobotani untuk menempatkan Orang Asli yang dijangkiti wabak berkenaan untuk dikuarantin sehingga mereka sihat sepenuhnya sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Hizani berkata setiap mereka termasuk kanak-kanak Orang Asli yang ditemani ibu bapa masing-masing di PPS itu perlu mengambil masa 21 hari bagi memastikan kesihatan mereka pulih.

Katanya bagi tujuan itu juga, pihak yang tidak berkenaan dilarang melawat Orang Asli di PPS terbabit untuk mengelak jangkitan wabak demam campak.

“Kita juga menerima banyak sumbangan seperti makanan dan keperluan penjagaan kesihatan daripada pelbagai pihak termasuk individu yang bersimpati dengan nasib Orang Asli terbabit,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X