Selasa, 2 Julai 2019 | 4:22pm
MENTERI Besar, Amirudin Shari bergambar bersama orang ramai pada Majlis Aidilfitri Invest Selangor Berhad di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Selangor masih runding tarif air - MB

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor masih berunding dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kadar baharu tarif air di negeri ini, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, rundingan itu mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri mahu memastikan kenaikan tarif air tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Bagi pihak Kerajaan Selangor, kita sendiri ada kemukakan beberapa cadangan (kepada Kerajaan Persekutuan). Kita mahu pastikan kelompok tertentu tidak terjejas dengan kadar baharu tarif air ini.

“Kita tidak akan bersetuju dengan kadar baharu tarif air jika ia membebankan rakyat.

“Namun, dalam masa sama kita kena pastikan juga kewangan kerajaan negeri tidak terbeban,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Invest Selangor Berhad di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kadar tarif air wajar disemak selepas sekian lama kekal pada kadar sama.

“Bukan di Selangor sahaja kadar tarif air (tidak disemak), tetapi di negeri lain sudah berpuluh tahun tiada kenaikan tarif air.

“Tarif air yang sudah lama tidak disemak akan mengganggu kestabilan kewangan negeri,” katanya.

Pada 12 April lalu, Amirudin dilaporkan berkata, kadar baharu tarif air di Selangor akan diumumkan pada Jun atau Julai ini.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air di seluruh negara akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat tahun ini, selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air.

Beliau berkata, kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Katanya, perundingan untuk menaikkan tarif air perlu dilakukan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Berita Harian X