Rabu, 3 Julai 2019 | 3:27pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew. - Foto Khairunisah Lokman

Perluas kempen SAS, elak sisa terus ke tapak pelupusan sampah

MELAKA: Sejumlah 1,058,470 tan barang kitar semula diselamatkan daripada terus dihantar ke tapak pelupusan sampah di negeri ini, susulan kejayaan kempen pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) sejak 1 September 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata kempen SAS akan terus dipergiatkan bagi menarik penyertaan masyarakat melalui kerjasama agensi seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Kerajaan terus komited untuk menyokong program kesedaran awam di seluruh kawasan pentadbiran termasuk di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah bagi mempromosikan ‘reuse’ (guna semula), ‘reduce’ (kurangkan) dan ‘recycle’ (kitar semula).

“Setakat ini, daerah Jasin adalah penyumbang terbesar kutipan barangan kitar semula iaitu sebanyak 388,267 tan diikuti Melaka Tengah (290,137 tan), Alor Gajah (274,343 tan) dan Hang Tuah Jaya (105,720 tan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kok Kiew berkata, purata sebanyak 1,000 tan sisa pepejal dilaporkan dijana negeri ini setiap hari dengan mengambil kira jumlah penduduk yang kini mencecah hampir 900,000 orang.

“Jumlah itu (sisa pepejal) akan terus meningkat sekiranya masyarakat tidak bijak menguruskan sisa sampah. Kita akan terus menjalankan kempen SAS dengan kerjasama agensi seperti SWCorp melalui kempen pintu ke pintu untuk memberi pemahaman kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Kok Kiew turut menyambut baik penganjuran program Sehati Sejiwa SWCorp - Universiti Kebangsaan Malaysia ‘Jom Plogging’ bersempena sambutan Hari Kitar Semula Sedunia bagi menyemai aktiviti mengutip sampah, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup dan memelihara alam sekitar.

“Plogging berasal dari bahasa Sweden iaitu plocka upp yang membawa maksud mengutip sampah. Ini adalah suatu inisiatif yang semakin mendapat perhatian dan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Berita Harian X