Khamis, 4 Julai 2019 | 11:01am

MPPD akan bentuk jawatankuasa kaji zon bebas cukai

PORT DICKSON: Bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Port Dickson, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji kemungkinan untuk menjadikan kawasan itu sebagai zon bebas cukai.

Pengarah Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam MPPD, Muhammad Syamim Bazir berkata, penubuhan jawatankuasa itu masih dalam peringkat perbincangan membabitkan beberapa agensi kerajaan bagi melihat mekanisme yang sesuai untuk menjadikan pusat peranginan tersebut sebagai zon bebas cukai.

“Sebelum ini memang ada cadangan untuk menjadikan Port Dickson sebagai zon bebas cukai. Sekarang kita dalam usaha menubuhkan satu jawatankuasa yang akan membabitkan Jabatan Kastam serta agensi lain.

“Untuk perkara sebegini, ia ada garis panduannya sendiri. Tidak mudah untuk kita laksanakan sebab keputusan akan dibuat oleh Menteri Kewangan. Jadi perancangan harus dilakukan dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha bagi menambah kedatangan pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung dan bermalam di Port Dickson.

Muhammad Syamim berkata, MPPD juga dalam perancangan mewujudkan Kawasan Khas Pesisiran Pantai Port Dickson yang kini masih dalam peringkat penyediaan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) meliputi kawasan pesisiran pantai sepanjang 64 kilometer.

“Dalam perancangan ini kita akan membuat publisiti serta penerangan awam dalam meminta pandangan orang awam mengenai kawasan itu pada bulan Oktober ini,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X