Khamis, 4 Julai 2019 | 5:57pm
Sebahagian kanak-kanak Orang Asli suku Batek diberi bantuan makanan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim

91 Orang Asli Batek kini semakin ceria, bersemangat

GUA MUSANG: Seramai 91 Orang Asli suku Batek yang di tempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani akibat demam campak kini lebih ceria dan kembali bersemangat selepas beberapa bulan melalui tempoh menyedihkan.

Ia berikutan mereka diberi pengawasan secukupnya termasuk disediakan makanan berzat mengikut jadual dan program kaunseling untuk mereka lupakan tragedi itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim, berkata bilangan Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang ditempatkan di situ juga meningkat setiap hari.

Katanya, daripada baki 78 Orang Asli pada Isnin lalu, kini meningkat kepada 13 orang lagi sehingga petang semalam.

Beliau berkata, mereka ditempatkan di situ selepas keluar menerima rawatan dari Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

“Bilangan Orang Asli yang ditempatkan disitu membabitkan 27 keluarga termasuk masing-masing empat bayi lelaki dan empat bayi perempuan,” katanya dihubungi, hari ini.

Hizani berkata, sejak PPS Etnobotani itu dibuka 17 Jun lalu, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka tinggal dalam suasana selesa dan bersih.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ini belum ada yang dibenarkan pulang walaupun keadaan kesihatan mereka bertambah baik.

“Ruangan tempat tinggal kaum itu juga disediakan untuk lebih 100 orang,” katanya.

Berita Harian X