Jumaat, 5 Julai 2019 | 2:12pm
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. - Arkib NSTP

Sarawak manfaat internet pikat pelancong China

MIRI: Sarawak perlu memanfaatkan aplikasi internet yang popular digunakan rakyat China, untuk menarik kemasukan lebih ramai pelancong negara itu datang ke sini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata kaedah yang sama boleh digunakan untuk mempromosi destinasi menarik yang terdapat di Sarawak.

Katanya, antara aplikasi yang popular digunakan di China ialah Wechat, dengan lebih 1 bilion penduduk giat menggunakannya.

“Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) boleh menggunakan aplikasi itu untuk memikat pelancong China supaya datang ke negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kim Shin berkata jumlah pelancong China yang datang ke Sarawak semakin meningkat, namun angkanya masih kecil berbanding sasaran yang ditetapkan kementerian.

Beliau menegaskan, usaha yang lebih gigih termasuk pembabitan ejen pelancongan yang beroperasi di negeri ini diperlukan untuk mempromosikan Sarawak.

Katanya, terdapat banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi di Sarawak dan ia memerlukan promosi berterusan serta kreativiti agensi pelancongan untuk memastikan pelancong China datang ke sini.

Selain itu, beliau berkata, semua agensi yang berurusan dengan sektor pelancongan di Sarawak perlu bersedia untuk menggunakan perkhidmatan e-dompet yang diperkenalkan kerajaan negeri.

“Usaha itu memudahkan pelancong kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ketika melancong ke negeri ini.

“Pembayaran boleh dibuat menggunakan perkhidmatan e-dompet, termasuk pembelian cenderamata untuk pelancong,” katanya.

47 dibaca
Berita Harian X