Sabtu, 6 Julai 2019 | 5:12pm
AZLISHA Ab Aziz menanam pokok paya bakau di persisiran pantai Kelanang pada Program Penanaman Pokok Bakau & Api-api dan Pemuliharaan Habitat Paya Bakau di Pantai Kelanang Kuala Langat. - Foto Roslin Mat Tahir
AZLISHA Ab Aziz menanam pokok paya bakau di persisiran pantai Kelanang pada Program Penanaman Pokok Bakau & Api-api dan Pemuliharaan Habitat Paya Bakau di Pantai Kelanang Kuala Langat. - Foto Roslin Mat Tahir

Pencemaran, aktiviti korek pasir jejas habitat hidupan laut

BANTING: Pencemaran industri serta aktiviti mengorek pasir di laut yang berlaku di negeri ini memberikan impak besar kepada habitat serta populasi ikan serta hidupan laut di Selangor.

Pengarah Perikanan Selangor, Azlisha Ab Aziz, berkata sebagai sebuah negeri yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, sikap sesetengah pengusaha yang melepaskan bahan tercemar ke dalam aliran air dan laut, sememangnya memberikan kesan yang sangat mencabar.

Katanya, apa yang dibimbangi adalah populasi hidupan laut terutama kerang yang dilihat semakin merosot.

“Jika kita lihat kerang, antara 10 hingga 15 tahun lalu, pendaratannya semakin menurun. Pada 10 hingga 15 tahun lalu kita boleh dapat hasil sehingga 20,000 tan tetapi kebelakangan ini hanya antara 2,000 hingga 3,000 tan, satu penurunan yang drastik.

“Masalah utama adalah kesan pencemaran, aktiviti mengorek pasir dan masalah lumpur yang kering menyebabkan banyak benih kerang tidak dapat hidup.

“Di Selangor benih kerang pula banyak di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor dan tahun ini banyak tempat kita buka (untuk penternakan kerang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Pemuliharaan Habitat Perikanan dan Hutan Bakau Pantai Kelanang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Atta-Ur-Rahman untuk Penemuan Produk Semulajadi, Prof Dr Hadiani Ismail; Pengarah Perancang Pembangunan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL); Pegawai Hutan Daerah Pantai Kelanang, Abu Bakar Osman dan Ketua Pangkalan Nelayan Kelanang, Zainizam Ismail.

Azlisha berkata, pencemaran juga memberi kesan kepada pengeluaran benih kerang, menyebabkan Selangor tidak lagi menjadi pengeluar utama berbanding 15 tahun lalu.

Terdahulu, ketika berucap, Azlisha berkata, program penanaman pokok bakau minyak dan api-api yang dijalankan di Pantai Kelanang itu sudah masuk tahun ketiga, dan mendapat bantuan pelbagai pihak termasuk sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan nelayan setempat.

Katanya, projek hari ini adalah pelan strategik yang dirangka untuk mewujudkan sistem kerjasama antara pihak berkepentingan bagi pengurusan ekosistem akuatik yang berkesan dan seterusnya menjamin kelestarian dalam industri perikanan.

Beliau berkata, antara perkara yang diterapkan adakan pengurusan pantai bersepadu, termasuk melalui kaedah penanaman pokok bakau.

“Tujuan Jabatan Perikanan menumpukan pemuliharaan ini kerana kawasan bakau menjadi tempat permainan dan persembunyian anak-anak ikan, udang dan ketam, terutama spesis komersial yang penting untuk sumber perikanan.

“Ini secara tidak langsung akan menambah atau setidaknya mengekalkan populasi sumber perikanan setempat. Penanaman bakau juga dapat mencegah hakisan pantai yang disebabkan oleh fenomena air pasang besar.

“Jika projek ini menunjukkan kejayaan, kawasan ini berpotensi untuk dijadikan kawasan eko-pelancongan di Selangor dan kawasan penyelidikan biodiversiti dan hasil semula jadi,” katanya.

Pada masa sama, Azlisha meminta sukarelawan, terutama dalam kalangan nelayan dan penduduk setempat untuk menjadi mata telinga kepada jabatan itu atau agensi pihak berkuasa sekiranya mereka menyedari berlaku atau mengesyaki akan berlaku pencemaran di kawasan hutan bakau di negeri itu.

Berita Harian X