Isnin, 8 Julai 2019 | 4:39pm
Mohd Izzuwan menunjukkan durian yang diisi di dalam bekas yang dijual di gerainya di Batu 15, Jalan Sintok. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Rezeki berganda jual durian tanpa kulit

SINTOK: Sikap jujur seorang pemuda menjual durian tanpa kulit di bahu jalan di Batu 15 Jalan Sintok, di sini menjadikan gerainya sentiasa menjadi tumpuan peminat raja buah itu.

Mohd Izzuwan Ismail, 30, berkata dia mendapat idea berniaga seperti itu bulan lalu selepas beberapa kali terbeli durian buruk dan memilih untuk menjual isi durian yang baik sahaja bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

“Jika saya sendiri berasa marah apabila terbeli durian buruk, orang lain pun sama saja. Malah mungkin ada yang menyumpah-nyumpah peniaga durian.

“Adik-adik membantu saya berniaga di sini, kami mahu pelanggan berpuas hati dan dapat melakukan akad jual beli dengan rasa senang hati,” kata anak kedua daripada lapan beradik ini.

Mohd Izzuwan yang juga mekanik motosikal, berkata setiap isi durian yang diisi dalam bekas akan dijual dengan harga RM25 sekilogram manakala sebiji durian akan dijual bermula dengan harga RM8 sekilogram hingga RM25 mengikut jenis.

Katanya, buah yang dijual terus kepada pelanggan akan dipastikan baik dan jika berasa was-was dia akan terus membuka buah itu.

“Jika buah itu jenis udang merah sekalipun, saya akan buka. Kemudian saya akan campur dengan buah jenis lain dan tetap dijual dengan harga RM25 sekilogram.

“Setakat ini pelanggan banyak yang ulang beli di gerai saya dan belum ada yang datang merungut. Alhamdulillah, walaupun berniaga di hujung kampung saya berjaya jual lebih 200 biji durian setiap hari,” katanya yang berasal dari Kampung Changkat Setoi, Changlun.

Mohd Izzuan berkata, sejak pelanggan menularkan mengenai cara jualan di gerainya semalam, duriannya habis dijual lebih awal hari ini iaitu pada jam 2 petang selepas mula berniaga pada jam 10 pagi.

Katanya, selain menjual durian di gerai, dia turut menjual secara dalam talian dan membuat penghantaran ke daerah lain termasuk ke Pulau Langkawi.

“Sebelum ini, saya sudah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi, banyak lagi pesanan yang saya terima,” katanya.

Berita Harian X