Selasa, 9 Julai 2019 | 7:27pm
TUNKU Khalkausar (tengah) ketika sidang media mengenai kualiti udara di Kedah khususnya Sungai Petani di Wisma Darulaman. - Foto BERNAMA

Kedah nafi kualiti udara di Sungai Petani tak sihat

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menafikan kualiti udara di Sungai Petani tidak sihat seperti yang didakwa aktivis alam sekitar, baru-baru ini.

Pengarahnya, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi, berkata tidak pernah ada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat yang dicatatkan dari awal Januari sehingga Jun lalu.

“Kita sudah membuat semakan dan peralatan yang digunakan NGO terbabit adalah alat khusus untuk mengukur kualiti udara di dalam rumah.

“Percayalah dengan JAS kerana kita ada satu stesen pengawasan yang memantau kualiti udara.

“Muat turun aplikasi MyIPU untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung kualiti udara di kawasan masing-masing yang diukur selama 24 jam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan kualiti udara di bandar ini berada dalam keadaan tercemar dipercayai berpunca daripada beberapa kilang kitar semula.

Aktivis alam sekitar, Dr Tneoh Shen Jen, berkata berdasarkan bacaan kualiti udara dari alat kaunter partikel PCE-MPC 10, ia memberi kesan buruk kepada penduduk, terutama yang tinggal dalam lingkungan dua kilometer (km) dari kilang berkenaan.

Mengulas lanjut, Tunku Khalkausar, berkata jenis industri di Pasir Gudang, Johor adalah berbeza berbanding di Sungai Petani.

Katanya, penjanaan bahan buangan berjadual oleh industri di Kedah hanyalah kira-kira 2.5 peratus sahaja.

“Kita tetap ambil langkah berjaga-jaga supaya tiada sebarang operasi pelupusan haram dari negara luar masuk ke Kedah.

“Berkaitan isu bau busuk, siasatan mendapati berkemungkinan besar bukan berpunca daripada operasi kitar semula plastik, sebaliknya disebabkan aktiviti pembakaran terbuka di Sungai Petani.

“Sehingga Jun lepas, 48 peratus aduan yang diterima daripada orang awam membabitkan pembakaran terbuka,” katanya.

Katanya, sebanyak 463 notis arahan, 37 kompaun, 45 penahanan operasi kelengkapan, satu perintah larangan dan dua kertas siasatan sudah dibuka setakat ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Ooi Tze Min, berkata kerajaan negeri akan memotong bekalan elektrik dan air kilang kitar semula sisa plastik import yang masih beroperasi secara haram walaupun sudah disita dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya masih menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa terdapat pengusaha premis masih ingkar dan meneruskan operasi walaupun sudah menerima notis sita oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, terdapat 15 kilang yang dikesan tidak memiliki lesen dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) serta JAS sudah menjalankan operasi bersepadu pada Mei dan Jun lalu.

“Hasil operasi sebanyak enam kali mendapati, kebanyakan kilang tidak beroperasi tetapi kita akan potong bekalan elektrik dan air dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selain itu, PBT turut tidak dibenarkan lagi untuk mengeluarkan lesen baharu kepada kilang yang memproses kitar semula sisa plastik yang diimport dari luar negara,” katanya.

179 dibaca
Berita Harian X