Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:18am
KAKITANGAN hospital pakar KPJ Pahang melepaskan 500 anak penyu pada Program Pelepasan Anak Penyu, di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating. - Foto Mohd Rafi Mamat

PKPP Cherating terus jadi tumpuan pendaratan penyu bertelur

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini menerima 30,294 telur penyu jenis Agar melalui 339 pendaratan direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman, berkata jumlah tertinggi dicatatkan pada Mei lalu iaitu sebanyak 10,985 telur diikuti bulan Jun (10,859 biji), April (6,078 biji), Mac (1,650 biji), Februari (422 biji) dan Januari (300 biji).

Katanya, pendaratan tertinggi penyu Agar direkodkan bulan lalu iaitu 124, diikuti Mei (122), April (67), Mac (18), Februari (5) dan Januari (3).

“Terdapat beberapa faktor mempengaruhi pendaratan reptilia berkenaan antaranya musim bertelur dan pasang surut air laut.

“Dalam tempoh enam bulan lalu, PKPP Cherating berjaya menetaskan sebanyak 8,282 telur di pusat penetasan khas dan aktiviti pelepasan anak penyu dilakukan secara berperingkat di kawasan pantai Cherating oleh kakitangan PKPP dan pelancong.

“Kita menjangkakan jumlah pendaratan penyu di kawasan rizab Pantai Cherating akan bertambah menjelang akhir tahun ini,” katanya melalui satu kenyataan, di sini hari ini.

Azahari berkata, aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong, murid sekolah dan individu lebih banyak dapat dilakukan jika jumlah penyu yang mendarat di PKPP Cherating meningkat.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah kedatangan pelancong, selain dapat memelihara dan memulihara spesies penyu Agar yang semakin terjejas ketika ini,” katanya.

Berita Harian X