Jumaat, 12 Julai 2019 | 11:15am
ROMBONGAN peserta Kembara Media Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bergambar beramai, di hadapan Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd, di Kundasang. - Foto Suzianah Jiffar

60 peserta jayakan Kembara Media MOA di Sabah

KUNDASANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menganjurkan program Kembara Media MOA 2019 selama tiga hari di Sabah, bermula hari ini hingga Ahad.

MOA dalam satu kenyataan, hari ini, berkata program itu dijayakan 60 peserta membabitkan pegawai kementerian, pegawai perhubungan awam dari pelbagai jabatan dan agensi bawah kementerian berkenaan, serta pengamal media.

Program julung kali diadakan itu akan menjelajah beberapa daerah bagi mempromosi dan memberi publisiti meluas kepada industri agromakanan dan pertanian di negeri ini.

Selain itu, ia menjadi medium untuk prapublisiti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dan Timbalannya, Sim Tze Tzin, serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, akan turut hadir di beberapa lokasi terpilih dalam program itu.

Antara lokasi akan dilawati ialah Projek Ternakan Lembu Tenusu di Desa Cattle Dairy Farm Kundasang, Ranau; Projek Penanaman Padi di Kampung Tambatuon, Kota Belud; dan Projek Ternakan Kolam Udang Sunlight Inno Seafood, Pitas.

Selain itu, Projek Tangkapan Ikan Pari di Kota Marudu; Projek Perladangan Datuk Yap Yun Fook, Keningau; dan Projek Bot Transformasi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Penyu.

Berita Harian X