Sabtu, 13 Julai 2019 | 2:09pm
Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop. - NSTP/Effendy Rashid
Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop. - NSTP/Effendy Rashid

7 lagi hutan lipur di Perak akan dikenakan bayaran masuk

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak bercadang mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung di semua 14 hutan lipur di negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menampung kos penyelenggaraan.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata setakat ini tujuh hutan lipur sudah mengenakan bayaran masuk.

Hutan lipur berkenaan adalah Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Taman Eko Rimba Kuala Woh, Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang Kuala Sepetang, Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail, Grik; Taman Eko Rimba Papan, Batu Gajah dan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru, Ipoh.

Katanya, pengenaan bayaran masuk di tujuh lagi taman rimba akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Bayaran masuk dikenakan pada kadar paling minimum untuk tujuan penyelenggaraan iaitu hanya RM2, selain itu kita juga mengenakan bayaran sekiranya hendak menggunakan dewan pada kadar RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Jungle Park In Town Siri 2’ di perkarangan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru Raya di sini, hari ini.

Mohamed Zin berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada kerajaan negeri yang akan membuat keputusan muktamad mengenainya.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan operator yang ingin memajukan hutan lipur berkenaan, yang mana ini bermakna mereka mengambil alih mana-mana hutan lipur di negeri ini.

“Namun begitu, kita hendak mencari operator yang benar-benar berkemampuan kerana mereka perlu menampung kos untuk penyelenggaraan aset. Kita tidak mahu apabila aset yang ada tidak mampu diselenggara lagi, operator menyerahkan kembali kepada kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 900 anak pokok akan dijual sebagai pokok angkat bagi peringkat permulaan projek Perak Oxygen Land Bank.

“Pada tahun ini, projek ini akan dijalankan di petak kajian di Hutan Simpan Chikus yang mana kita mempunyai kira-kira 900 pokok antaranya Meranti, Tembaga, Cengal.

“Setiap anak pokok akan dijual untuk pemuliharaan bagi penjagaan tempoh setahun atau lima tahun dengan kadar bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut saiz pokok,” katanya.

Katanya, projek kini berada di fasa akhir bagi proses pemetaan sebelum projek dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini.

Berita Harian X