Ahad, 14 Julai 2019 | 3:02pm
Antara pelanggan hadir pada jualan longgok di Kampung Semat Jal. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penuh plastik RM10

TUMPAT: Konsep isi sampai penuh plastik dengan harga serendah RM10 diperkenalkan seorang penjual durian di Kampung Semat Jal, di sini menyebabkan gerainya menjadi tumpuan peminat raja buah itu sejak dua minggu lalu.

Selain itu, Shahmi Azani Mohd Tanazi, 26, turut memperkenalkan sistem kupon bagi mengelak pembeli berebut dan insiden tolak menolak.

Longgokan durian kampung memenuhi pekarangan luar gerai yang mula dibuka sejak jam 10 pagi turut menarik minat orang ramai untuk datang seawal jam 8 pagi.

Shahmi Azani berkata, sebanyak 20 tan durian dibekalkan setiap hari yang diperoleh dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata sejak dua minggu lalu, bekalan durian tidak pernah terputus.

“Konsep isi dalam plastik hingga penuh saya perkenalkan bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama bagi yang kurang berkemampuan untuk merasa buah durian pada harga mampu milik.

“Apabila menjual durian secara longgok dengan harga yang murah, sudah pasti mendapat sambutan sangat menggalakkan.

“Orang ramai akan datang serbu menyebabkan saya menyediakan kupon bagi mengelakkan mereka berebut dan mendatangkan risiko terutama kepada warga emas dan ibu mengandung.

“Enam nombor (pembeli) akan dipanggil serentak dan mereka perlu membayar RM10 terlebih dahulu sebelum diberikan plastik dan mula mengisinya sehingga penuh. Purata durian yang mampu diisi antara tujuh hingga sembilan biji,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bukan sahaja durian kampung, bahagian dalam gerai pula disediakan pelbagai jenis durian yang dijual secara timbang bermula pada harga RM3 sehingga RM25 untuk satu kilogram (kg).

Shahmi Azani yang juga ahli Pemburu Buah Group, berkata dia sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 11 tahun lalu dan setiap kali musim durian, lokasi berkenaan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.

“Jika untuk durian longgok, kebiasaannya akan habis dijual dalam masa satu jam manakala yang timbang pula menjelang petang akan licin diborong dan semua durian ini akan habis dijual setiap hari,” katanya sambil memberitahu pelanggan datang dari serata tempat termasuk Bachok, Ketereh, Kok Lanas, Wakaf Che Yeh malah dari Terengganu.

Seorang pembeli, Nor Izati Mohd Fatihi, 32, berkata sudah dua hari dia datang ke gerai itu untuk membeli durian dan baru hari ini mendapat kupon bagi merasa durian longgok.

“Semalam saya datang agak lewat dan gagal mendapatkan kupon untuk membeli durian longgok sebaliknya hanya membeli secara timbang sebanyak dua biji pada harga RM12.

“Hari ini saya datang pada jam 8 pagi lagi dan berjaya memperoleh kupon namun hanya mampu membeli satu plastik sahaja kerana datang dengan motosikal,” katanya sambil menunjukkan durian sebanyak lapan biji yang diisi dalam plastik.

Berita Harian X