Isnin, 15 Julai 2019 | 3:05pm
IBUBAPA dan kanak-kanak Orang Asli Suku Batik dari Kampung Kuala Koh diberi kaunseling setiap hari, di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, Gua Musang. NSTP/Ramli Ibrahim.

Orang Asli di PPS semakin berkurangan

GUA MUSANG: Dua lagi Orang Asli suku Batek yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini, akibat dijangkiti demam campak dibenarkan pulang, semalam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim, berkata setakat ini, hanya lima penduduk yang dibenarkan keluar termasuk tiga orang pada Khamis lalu selepas mendapati mereka bebas daripada jangkitan demam campak.

Berikutan itu, seramai 168 Orang Asli masih ditempatkan PPS terbabit selepas selesai menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai.

“Bilangan Orang Asli suku Batek Kuala Koh yang ditempatkan sementara di PPS berkurangan daripada 173 Orang Asli pada Jumaat lalu berkurangan kepada 168 orang petang semalam.

“Mereka dibenarkan pulang selepas berada di PPS lebih 25 hari dan pemeriksaan kesihatan juga mendapati mereka sudah bebas daripada jangkitan demam campak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sejak awal Mei lalu, 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh meninggal dunia kerana dijangkiti demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Berikutan penyakit itu, kampung terbabit diletak dalam kawalan keselamatan zon merah sejak 12 Jun lalu sebelum ditarik balik pada 8 Julai lalu selepas keadaan pulih sepenuhnya.

Hizani berkata, semua Orang Asli yang menerima rawatan di hospital juga sudah dibenarkan keluar sebelum ditempatkan di PPS untuk kuarantin.

“Mereka juga tidak pernah sunyi daripada mengikuti pelbagai aktiviti termasuk orang dewasa dan kanak-kanak setiap hari,” katanya.

Berita Harian X