Khamis, 18 Julai 2019 | 6:43pm
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Bangunan Wahdah Temasek hasil dari Infak Wakaf Umat Islam Singapura yang disaksikan oleh Ketua pengumpul dana wakaf Singapura, Zainab Abdul Ghani, (kiri) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). NSTP/Fathil Asri.

Hanya Istana Kelantan boleh keluarkan kenyataan - MB

KOTA BHARU: Hanya Istana Kelantan boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perceraian Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang mengulangi pendiriannya, berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

“Saya sama seperti apa yang disebut Timbalan Menteri Besar (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) semalam. Biasanya mesti melalui pejabat istana.

“Saya (dari) Pejabat Menteri Besar, lain dan saya tidak mahu komen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan Akademik Tahfiz Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan perceraian Sultan Muhammad V dengan seorang wanita Russia.

Kelmarin, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sesiapa boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad memohon kepada pihak kementerian supaya dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf KIAS kepada kolej universiti.

“Seramai 16 pensyarah (KIAS) memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan 60 lagi memiliki ijazah sarjana, yang sudah melebihi syarat.

“Kita ada kampus dan perpustakaan, harap pihak kementerian dapat pertimbangkan KIAS dinaik taraf jadi kolej universiti,” katanya.

Berita Harian X