Ahad, 21 Julai 2019 | 5:04pm
Ibrahim (kiri) bersama anak sulungnya, Nor Fatin Shahira (dua dari kiri) memegang Nor Amalina Eliya menemani Norazlina yang terlantar di rumahnya di Kampung Laut, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Mama mengalir air mata setiap kali adik di sisi'

TUMPAT: “Setiap kali saya meletakkan adik bongsu di sisinya, mama hanya mampu mengalirkan air mata.

“Adik juga seperti mengerti mama terlantar apabila dia tidak banyak ragam dan tidak membebankan saya untuk menjaganya sejak lahir sehingga kini usianya empat bulan,” kata Nor Fatin Shahira Ibrahim.

Anak sulung daripada tujuh beradik berusia 22 tahun itu berkata, dia bersyukur kerana adik keduanya, Nor Atiqah Adilla, 20, turut mengorbankan masa depannya demi menjaga ibu, Norazlina Hasan, 42, yang terlantar akibat komplikasi ketika melahirkan anak bongsu, Nor Amalina Eliya, akhir Mac lalu.

Nor Fatin Shahira berkata, Nor Atiqah Adilla baru sahaja menamatkan pengajian peringkat Diploma Perniagaan di sebuah kolej di Cyberjaya dan mendapat tawaran kerja sebagai pramugari.

“Adik perlu menjalani latihan tiga bulan bermula Jun lalu, namun dia terpaksa menolak kerana mahu membantu meringankan beban saya menjaga mama dan adik bongsu.

“Kami perlu memberi perhatian 24 jam kepada mama kerana perlu menyedut kahak untuk tempoh 15 minit sekali dan susu tiga jam sekali.

“Selain itu, adik bongsu dan tiga adik lain berusia antara tujuh hingga 12 tahun masih bersekolah juga perlu perhatian daripada kami, termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah ketika abah bekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Laut, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Wan Izani Wan Isa, menyampaikan sumbangan lampin pakai buang kepada keluarga itu.

Nor Fatin Shahira berkata, bapanya, Ibrahim Abd Rahman, 47, bekerja sebagai pemandu lori untuk menampung keperluan keluarga, selain mereka mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Sementara itu, Ibrahim berkata, perbelanjaan untuk keperluan isterinya lebih RM1,000 sebulan dan ia amat perit untuk ditanggung, namun bersyukur kerana ramai pihak tampil memberi sumbangan kepada mereka.

“Alhamdulillah, ramai yang prihatin tampil membantu kami termasuk membeli wayar untuk isteri dan memberi keperluan lain.

“Namun, kos susu khas untuk isteri berjumlah hampir RM800 dibeli menggunakan wang gaji. Saya bersyukur wang gaji kira-kira RM1,500 sebulan cukup untuk menampung kami,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, sejak dilahirkan hujung Mac lalu, bayi perempuan, Nor Amalina Eliya belum pernah mendapat belaian dan setitik pun susu ibunya.

Norazlina yang terlantar akibat komplikasi ketika melahirkan bayinya termasuk kejang seluruh tubuh sehingga menyebabkan oksigen gagal sampai ke otak dan akhirnya dia terbaring dan hanya mampu memandang bayi itu sambil berlinangan air mata.

Berita Harian X