Rabu, 24 Julai 2019 | 3:53pm
KETUA Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, beramah mesra dengan penghuni Pusat Pemulihan Cure And Care (CCRC) pada lawatannya ke pusat berkenaan dan Klinik Cure And Care (C&C) di Papar. - Foto Edmund Samunting

Sabah bakal miliki CCRC kedua

KOTA KINABALU: Pembinaan Pusat Pemulihan Cure And Care (CCRC) kedua di negeri ini yang dicadangkan di Kalabakan dijangka dapat dimulakan tahun depan selepas proses perolehan tanah daripada Kerajaan Sabah selesai.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata CCRC yang dianggarkan bernilai RM100 juta itu disasar mampu menempatkan antara 200 hingga 300 penghuni pada satu-satu masa.

Beliau berkata, pembinaan CCRC baharu itu penting bagi mengatasi kesesakan dialami di CCRC Papar, di sini berikutan jumlah penagih yang menjalani proses pemulihan melebihi kapasiti sebenar pusat berkenaan.

“Secara dasarnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju untuk membina sebuah lagi CCRC di Sabah, kali ini di kawasan pantai timur iaitu di Kalabakan. Ia bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan CCRC di negeri ini.

“Berdasarkan mesyuarat bersama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, semalam, kerajaan negeri juga positif mengenai cadangan tapak CCRC itu tapi ia perlu disusuli beberapa proses lagi dan kita mahu ia bermula tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatannya ke CCRC dan Klinik Cure And Care (C&C) Papar, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi dan Pengarah CCRC dan C&C Papar, Abdul Hamediee Ibrahim.

Zulkifli berkata, bilangan penagih yang terlalu ramai ditempatkan di CCRC Papar menyebabkan pusat pemulihan yang beroperasi sejak tahun 2002 itu semakin uzur, selain menjejaskan keupayaan anggota melaksanakan proses pemulihan dengan berkesan.

“Kapasiti CCRC Papar hanya 250 penghuni tetapi kini ia menempatkan sehingga lebih 400 penghuni bagi menjalani rawatan pemulihan.

“Dengan adanya CCRC baharu di Pantai Timur Sabah, sudah tentu kita dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik selain lebih ramai penagih dapat dibantu. Kita juga mahu CCRC baharu itu dapat dijadikan pusat pemulihan penagih yang datang secara sukarela,” katanya.

Sementara itu, AADK menumpukan usaha menangani dadah dan program pencegahan di kawasan berisiko tinggi berlaku penagihan dadah di negeri ini iaitu Tawau, Keningau, Beaufort, Sepanggar dan Kota Kinabalu.

Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan di kawasan terbabit, termasuk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain yang berkaitan khususnya yang berhubung kait dengan program pencegahan.

“Contohnya, kalau ada tempat dikenal pasti menjadi lokasi penagihan dadah, kita meminta kerjasama PBT untuk membersihkannya. Begitu juga kalau kawasan terbabit didapati kurang kemudahan riadah untuk golongan belia bermain dan mengisi masa lapang, kita minta agensi yang berkaitan sediakannya.

“Ini adalah antara pendekatan yang kita lihat, bukan setakat melaksanakan pemulihan yang membabitkan penagihan dadah,” katanya.

Berita Harian X