Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:49pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman. - Foto Amran Hamid

Denda RM3,000 buang sampah merata-rata di Perlis

ARAU: Kerajaan Perlis akan menguatkuasakan denda RM3,000 bagi kesalahan membuang sampah merata-rata di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman, berkata penguatkuasaan itu akan dilaksanakan bersama oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar.

“Denda dikenakan itu diharap menjadi pengajaran kepada pesalah supaya menghargai kepentingan ekosistem dan alam sekitar,” katanya ketika melancarkan kempen #JanganlahBuang anjuran SWCorp di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Perlis, Hasbullah Abd Rashid dan Pengarah SWCorp Perlis, Mohd Hidy Md Dzahir.

Azizan berkata kempen itu menyasarkan pengguna jalan raya dengan mendidik mereka supaya tidak membuang sampah daripada kenderaan kerana ia akan memasuki longkang dan sungai yang akhirnya terurai menjadi komponen air larut resap dan menyebabkan berlaku pencemaran air.

Sebanyak 300 unit pelekat gantung kenderaan #JanganlahBuang serta risalah larangan pembuangan sisa pepejal daripada kenderaan diedarkan oleh SWCorp kepada pengguna jalan raya.

Azizan berharap usaha dilaksanakan itu dapat mengubah minda orang ramai bagi mencapai tahap negara maju yang mementingkan kebersihan alam sekitar. - BERNAMA

Berita Harian X