Isnin, 29 Julai 2019 | 5:58pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon mengadakan Ops Bersepadu Kilang Haram di sekitar kawasan Pasir Gudang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

67 kilang dikenal pasti beroperasi tanpa lesen di Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Sebanyak 67 kilang yang tiada lesen perniagaan di bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dikenal pasti beroperasi secara tidak sah di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata susulan daripada itu, tindakan yang diambil adalah mengesyorkan tindakan mahkamah.

“Daripada jumlah itu, lapan premis dikenakan tindakan mahkamah, 46 premis diberi notis pengosongan premis, selain tiga disita, dua ditutup, selain lapan lagi akan diambil tindakan kerana masih dalam siasatan.

“Terdapat empat premis yang mempunyai lesen daripada MPPG, tetapi melakukan kesalahan kerana menceroboh tanah kerajaan.

“Sehubungan itu, tindakan seterusnya adalah kepada tapak yang melanggar undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Ops Bersepadu Kilang Haram di sekitar kawasan Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Pada program itu, Chen Choon berkata, operasi membabitkan empat lokasi iaitu di tiga kilang dan sebuah bengkel stor besi buruk yang membawa kepada penahanan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, operasi yang dijalankan selama dua jam bermula kira-kira 9.30 pagi itu, membabitkan kekuatan lebih 60 anggota itu dari pelbagai agensi termasuk JAS, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Kesemua yang ditahan itu adalah lapan warga Bangladesh, dua Indonesia dan dua China.

“Hasil pemeriksaan, kilang pertama didapati mempunyai lesen MPPG, namun tiada permit daripada JAS dan proses siasatan masih dijalankan.

“Manakala, kilang kedua didapati tidak ada lesen perniagaan sah dan premis sudah disita.

“Bagi kilang ketiga dan keempat pula, pemilik premis melakukan kesalahan merangkumi ceroboh tanah kerajaan, tiada lesen sah dari MPPG dan kini sudah disita,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu tindakan penguatkuasaan akan diambil, selain pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diminta untuk menyenaraikan kilang lain yang beroperasi secara haram.

“Sehubungan itu, operasi berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa, selain semua pengusaha diminta menjalankan perniagaan secara sah dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X