Selasa, 30 Julai 2019 | 5:40pm
Naib juara program realiti Rockanova, Azmi Khan Setapar (kiri) menjual durian sambil menyanyi beberapa lagu bagi menarik perhatian orang ramai di jalan Jerantut-Benta. - NSTP/Roselan Ab Malek
Naib juara program realiti Rockanova, Azmi Khan Setapar (kiri) menjual durian sambil menyanyi beberapa lagu bagi menarik perhatian orang ramai di jalan Jerantut-Benta. - NSTP/Roselan Ab Malek

Jual durian sambil menyanyi

JERANTUT: Inisiatif bekas naib juara program realiti, Rockanova menjual durian sambil menyanyi menarik perhatian pelanggan ke gerainya yang terletak di Jalan Jerantut - Lipis di kampung Damak di sini.

Azmi Khan Setapar yang dikenali sebagai Mie Rockanova, berkata dia menjual durian daripada dusun bapanya sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Saya akan menyanyikan pelbagai lagu rock popular bagi menarik perhatian pembeli, khususnya orang muda sambil menghiburkan mereka.

“Saya sudah biasa menjual durian, malah pekerjaan utama saya ialah menoreh getah jika tiada tawaran persembahan. Disebabkan harga getah sekarang murah, jadi saya ambil peluang musim durian untuk menjual buah ini sejak awal bulan,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini.

Selain menjual buah daripada dusun seluas satu hektar milik bapanya itu, Azmi turut membeli durian daripada jiran untuk dijual jika buahnya tidak mencukupi.

Ditanya mengenai kerjaya seninya, Azmi berkata, dia banyak mendapat undangan persembahan di majlis keramaian, ekspo serta majlis perkahwinan di sekitar Jerantut, Jengka, Temerloh dan Lipis.

“Saya masih menyimpan impian untuk menerbitkan album solo pertama. Sekarang saya sudah mempunyai tiga lagu berjudul Dendang Perwira, Cinta Untukku dan Awek Tol untuk dimuatkan dalam album ini nanti.

“Pada mulanya saya ingin menerbitkan sendiri album rock, tetapi, memandangkan kos pembikinan tinggi, jadi, saya simpan dulu hasrat itu,” katanya.

Azmi turut berharap ada komposer yang sudi menerbitkan albumnya supaya bakat yang dimiliki diketengahkan sekali gus merealisasikan impiannya untuk bergelar penyanyi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X