Rabu, 31 Julai 2019 | 5:19pm
Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin (dua dari kanan) pada sidang media Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman

MBMB pasang 7,000 Jalur Gemilang

AYER KEROH: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bakal memasang sekurang-kurang 7,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan pentadbirannya, mulai esok.

Langkah itu bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan bermula esok hingga 16 September depan.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin, berkata daripada jumlah itu, 1,000 Jalur Gemilang berbentuk bendera kibar dipasang di Jalan Peringgit ke Bandar Hilir, sepanjang Jalan Hang Tuah, Jalan Munshi, Jalan Tun Mutahir, Bangunan Graha Makmur dan kawasan pinggir bandar.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin. - NSTP/Khairunisah Lokman

Beliau berkata, sebanyak 6,000 lagi Jalur Gemilang dan bendera jenis gegantung akan dipasang di semua bangunan kerajaan dalam kawasan MBMB.

“Bagi memastikan warga bandar raya membabitkan diri dalam kempen ini, lebih 2,000 notis pemberitahuan juga sudah dikeluarkan kepada pemilik bangunan perniagaan, hotel, dewan perniagaan, kilang, pemaju, balai raya dan wakil peringkat komuniti supaya mengibarkan Jalur Gemilang mulai 1 Ogos hingga 16 September depan.

“Kami turut mengambil perhatian serius jika ada pihak tidak menukar bendera lusuh kepada yang baharu kerana ia melambangkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Graha Makmur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha MBMB, Azahar Mohamed.

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 dijadualkan pada 3 Ogos ini di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, seluruh warga bandar raya ini turut diminta mengibarkan Jalur Gemilang, termasuk di kediaman, premis perniagaan dan balai raya di sekitar kawasan perumahan atau kampung, bermula 3 Ogos ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBMB menyasarkan lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka ke Dataran MBMB bagi memeriahkan detik Ambang Kemerdekaan pada malam 30 Ogos ini.

“Kita sudah merangka program berkonsepkan warisan sebagai pengisian bagi persembahan malam berkenaan dengan penampilan artis jemputan tanah air, persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api,” katanya.

Berita Harian X