Jumaat, 2 Ogos 2019 | 12:11pm
Kolej Komuniti Temerloh.

Peluang kerja luas untuk pelajar TVET

KUANTAN: Budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kalangan pensyarah dan pelajar kolej komuniti dan vokasional perlu ditingkatkan bagi memastikan imej pusat pendidikan itu terus dihormati.

Pengarah (Pusat Penyelidikan dan Inovasi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Ishak Mohamad, berkata kemahiran dalam bidang R&D memberi kelebihan kepada pelajar, selain memberi nilai tambah kepada pensyarah.

“Apabila kita mempunyai kemahiran dan menghasilkan R&D berkualiti, sudah tentu majikan di luar sana akan memilih pelajar kita untuk ditawarkan peluang pekerjaan.

“Jadi, perkara berkaitan R&D ini sangat penting dan saya harap ia terus dijadikan sebagai budaya dalam kalangan pelajar dan kakitangan kolej komuniti dan vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Inovasi dan Kreatif Pendidikan (ICC) Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di Kolej Komuniti Temerloh, dekat Temerloh, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Suhairi Ismail.

Sementara itu, Ishak berkata, penganjuran ICC TVET adalah strategi penting dalam memperkukuhkan budaya kreatif dan inovasi dalam kalangan pelajar.

Katanya, sebanyak 86 produk inovasi dipertandingkan dalam edisi kali ini yang turut disertai kolej dari Thailand.

268 dibaca
Berita Harian X