Jumaat, 9 Ogos 2019 | 5:12pm
Gambar fail, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Zarina Ramli (dua dari kanan) bersama Pegawai Penguatkuasa MAQIS menunjukkan antara barangan keluaran pertanian dianggarkan bernilai RM75,391.20 yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot dagang yang dikendalikan oleh empat orang warga Indonesia di Jeti Perai , Butterworth, 25 Julai lalu. - Foto ihsan MAQIS

Pengimport tembakau dikompaun guna pembungkus tiada permit

BUTTERWORTH: Sebuah syarikat pengimport tembakau payakumbuh dikompaun oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana menggunakan bungkusan tiada permit.

Dalam operasi jam 12.30 tengah hari tadi, syarikat terbabit dikenal pasti mengimport tembakau dari Indonesia menggunakan pembungkus Bale Jute dan tikar mengkuang di Zon Bebas Dermaga di sini.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli, berkata tindakan pengimport itu menyalahi undang-undang kerana kedua-dua pembungkus terbabit diperbuat daripada hasil pertanian dan perlu permit sah dan sijil fitosanitasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu mengimport 228 kilogram (kg) tembakau menggunakan bahan pembungkus tiada permit import sah. Bagaimanapun tembakau payakumbuh yang diimport syarikat terbabit dikenal pasti mematuhi syarat import.

“Pengimport dikompaun RM1,000, selain semua barangnya dilepaskan setelah kami meneliti dokumen Bale Jute dan tikar mengkuang sudah menjalani proses rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengimportan produk hasil pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zarina berkata, pihaknya komited menjalankan tanggungjawab di pintu masuk negara bagi memastikan tiada kemasukan produk pertanian secara penyeludupan atau melanggar undang-undang ditetapkan.

“Ia bagi memastikan negara bebas dari sebarang ancaman perosak dan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian negara,” katanya.

113 dibaca
Berita Harian X