Sabtu, 10 Ogos 2019 | 1:06pm

Ribut petir dijangka melanda Kelantan petang esok

KOTA BHARU: Hujan dan ribut petir dijangka melanda negeri ini di satu dua tempat pada petang esok ketika umat Islam menyambut Aidiladha.

Berdasarkan laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir diramal melanda di satu dua tempat membabitkan Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh.

Pengarah MetMalaysia Kelantan, Rabiah Zakaria, berkata berikutan musim angin Monsun Barat Daya ketika ini, adalah perkara biasa waktu petang akan dilanda ribut petir di satu dua tempat di negeri ini.

“Bagaimanapun, masyarakat tidak perlu khuatir kerana ribut petir diramal melanda negeri ini petang esok tidak seperti yang berlaku di Utara Semenanjung sejak malam tadi.

“Ribut petir ini tiada kaitan dengan kesan tiupan angin susulan taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

“Apapun, saya menasihatkan supaya orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan dan ramalan cuaca menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia setiap masa dan juga di aplikasi MyCuaca,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, mengakibatkan banyak pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam yang menjejaskan lalu lintas dilaporkan.

MetMalaysia dalam satu kenyataan malam tadi, turut memberi amaran kepada Perak dan Kelantan bahawa negeri itu akan dilanda ribut petir seperti berlaku di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Hari ini, MetMalaysia mengesahkan ribut di beberapa negeri di kawasan utara Semenanjung berpunca daripada taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata berlaku fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan itu di selatan Thailand yang kemudiannya melanda di utara Semenanjung.

Berita Harian X