Selasa, 13 Ogos 2019 | 5:57pm
Pok Lan sedang menjalankan permanian berhadas kepada lembu baka. - Ihsan pembaca

Kemahiran Pok Lan sebagai 'bidan' lembu ditagih penternak

KUALA TERENGGANU: Bergelar ‘bidan lembu’ mungkin jarang diketahui umum, namun itulah tugas seorang penduduk di Kampung Pok Pa sejak 10 tahun lalu.

Roslan Atan, 46, bukan saja mahir menyediakan perkhidmatan permandian berhadas untuk lembu baka, tetapi khidmatnya sebagai bidan dalam membantu lembu jenis baka melahirkan anak juga ditagih penternak di negeri ini.

Roslan atau lebih dikenali sebagai Pok Lan berkata, lembu jenis baka seperti Charolais, Limosin, Blonde dan Blue Bega mempunyai saiz anak yang terlalu besar justeru tidak semua induk mampu melahirkan anak sendiri.

“Jadi, khidmat bidan lembu diperlukan bagi membantu induk lembu mereka ketika proses melahirkan anak bagi mengelakkan daripada anak lembu mati lemas.

“Saya membeli alat bantuan khas iaitu jek hidraulik dari Australia berharga lebih RM1,000 untuk melancarkan proses mengeluarkan anak daripada induk lembu betina.

“Jika tidak menggunakan jek itu, anak lembu sukar untuk dikeluarkan daripada induk lembu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, proses melahirkan anak menggunakan jet dilakukan dengan mengikat kedua kaki depan anak lembu untuk ditarik keluar.

Katanya, proses terbabit kebiasaannya hanya mengambil masa selama 10 hingga 15 minit.

“Biasanya jika lembu melahirkan anak secara songsang ia akan mengalami kesukaran dan memang memerlukan bantuan bidan kerana sukar untuk induk lembu melahirkannya sendiri.

“Penternak perlu peka dengan keadaan lembu masing-masing, lembu yang sarat bunting perlu diperhatikan setiap masa supaya bantuan perbidanan dapat diberikan pada masa yang tepat.

“Jika terlewat memberi bantuan, peratusan untuk anak lembu dilahirkan dengan selamat sangat tipis,” katanya.

Menurutnya, dia menerima sebanyak tiga hingga lima kes lembu beranak pada setiap bulan dan kebiasaannya berlaku pada waktu lewat pagi atau petang.

“Sebagai bidan lembu saya perlu bersedia setiap masa dan segera memberikan bantuan apabila diperlukan kerana jika terlewat anak lembu gagal diselamatkan.

“Biasanya penternak yang menggunakan perkhidmatan permandian berhadas turut menggunakan khidmat saya ketika lembu nak beranak,” katanya yang mengambil upah RM80 hingga RM100 untuk setiap kelahiran anak lembu yang dikendalikannya.

758 dibaca
Berita Harian X