Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:13pm
Nassry Mardee (kanan) bersama Rashidi (dua dari kanan) dan Sharudi (dua dari kiri) bergotong-royong melapah daging korban pada Program Korban Ukhwah di Balai Bomba Meru Raya, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya

Kelab usahawan, pihak berkuasa anjur korban

IPOH: Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak buat julung kali bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menganjurkan Program Korban Ukhwah di Balai Bomba Meru Raya di sini hari ini.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu dijalankan secara gotong-royong bermula daripada proses menyembelih, melapah dan memasak pelbagai hidangan.

Pengerusi kelab itu, Nassry Mardee Ismail, berkata program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli kelab, masyarakat setempat, pasukan bomba dan penyelamat serta polis.

“Seramai 30 ahli kelab dan 40 petugas daripada rakan strategik seperti Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun, Balai Polis Jelapang dan Balai Bomba Meru Raya menyertai korban ini.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengekalkan ukhuwah antara orang awam dan anggota keselamatan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Balai Polis Jelapang, Inspektor Rashidi Othman dan Ketua Balai Bomba Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil.

Nassry Mardee berkata, sebanyak dua lembu dikorbankan hari ini sumbangan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun.

“Satu pertiga daging korban akan diagihkan kepada ahli kelab manakala sebahagian lagi diagihkan kepada masyarakat setempat dan peserta korban.

“Kelab kami baru sahaja setahun ditubuhkan, program hari ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pihak. Alhamdulillah ia memberi manfaat sebaik-sebaiknya buat mereka yang memerlukan,” katanya.

Berita Harian X