Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:21pm
Choo Kiong (kanan) menyerahkan watikah pelantikan Ahli MPT kepada penerima pada Majlis Angkat Sumpah pelantikan 20 Ahli Majlis MPT. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pelantikan ahli majlis PBT Perak diselesai tempoh terdekat

TAIPING: Pelantikan ahli majlis di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berjalan lancar dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong, berkata dalam tempoh seminggu lalu beberapa PBT sudah pun menjalankan upacara mengangkat sumpah bagi jawatan ahli majlis bagi 2019 hingga 2021 termasuk Majlis Perbandaran Taiping (MPT), hari ini.

“Hanya sebuah parti (PKR) yang belum menyenaraikan lagi nama ahli majlis mereka bagi empat PBT di utara Perak dan dijangka perkara itu akan diselesaikan segera pucuk pimpinan parti berkenaan dalam masa terdekat.

“Selepas saya menerima senarai nama berkenaan, kita akan menyegerakan majlis angkat sumpah.

“Bagi kuota badan bukan kerajaan (NGO) pula, dijangka akan diadakan perbincangan semula bagi keempat-empat parti politik (AMANAH, BERSATU, DAP dan PKR) bagi memilih NGO yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah pelantikan 20 Ahli Majlis MPT, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming; ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih; ADUN Kamunting, Dr Fadhil Nuruddin dan Yang DiPertua MPT, Borhan Abdul Halim.

Pada majlis itu, seramai dua muka baharu dilantik sebagai Ahli Majlis MPT manakala 18 muka lama dikekalkan.

Choo Kiong berkata, pelantikan jawatan ahli majlis kali ini dibuat selama dua tahun dan pucuk pimpinan parti komponen boleh membuat perubahan nama-nama ahli majlis mereka pada bila-bila masa jika terdapat sebarang permasalahan.

Beliau berkata, pihaknya berbangga apabila 11 daripada 15 PBT di Perak sudah mendapat pengiktirafan lima bintang di atas pencapaian perkhidmatan mereka.

“Bagi empat lagi Majlis Daerah yang belum mendapat pengiktirafan itu diharap mereka dapat mempertingkat usaha dan menjadikan PBT lain sebagai contoh bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Berita Harian X