Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:47pm
Beberapa pegawai dan anggota penguatkuasa memasuki sebuah kilang untuk menjalankan pemeriksaan yang turut disertai Tze Min. - NSTP/Shahrizal Md Noor

20 kilang plastik haram dikesan di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Sebanyak 20 kilang kitar semula sisa plastik import haram beroperasi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min, berkata daripada jumlah itu, tiga daripadanya mempunyai kebenaran merancang dan tiga lagi sudah membuat permohonan penuh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada 2017 ada sebuah kilang diarahkan berpindah ke Bukit Selambau dan mereka masuk dengan kebenaran merancang dan mendirikan kilang di situ.

“Tapi malangnya ketika itu kita sudah tidak mengeluarkan lesen dan mereka meneruskan operasi tanpa lesen,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Kilang Kitar Semula Plastik di sini, hari ini.

Tze Min berkata, enam kilang berkenaan akan dipertimbangkan untuk diberikan lesen sekiranya kilang berkenaan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini sebanyak 16 premis kilang haram disita dan 10 daripadanya dikenakan tindakan pemotongan elektrik.

Katanya, tindakan pemotongan elektrik akan dilakukan ke atas semua kilang yang disita selepas mendapati masih terdapat kilang yang beroperasi biarpun arahan penutupan kilang sudah dikeluarkan.

Beliau menggesa orang ramai supaya terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui lokasi kilang haram atau kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran di negeri itu.

“Kita sentiasa terbuka jika ada aduan baru berkaitan isu ini dan boleh maklumkan kepada kita untuk diambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa terdapat 100 kilang haram yang memproses sisa plastik beroperasi di sini.

154 dibaca
Berita Harian X