Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:43pm
PENGASAS Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum, Muhammad Amirul Mohd Noor menunjukkan khemah berstruktur besi dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) yang dijadikan tempat meletak kenderaan terangkat lebih satu meter ke udara akibat angin kencang sebelum terbalik berhampiran pusat tahfiz kendaliannya. NSTP/Nur Izzati Mohamad

Madrasah rayu bantuan RM20,000 baiki kerosakan akibat ribut

BUTTERWORTH: Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum, di sini memohon sumbangan orang ramai bagi membaiki kerosakan bumbung yang akibat tempias Taufan Lekima, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sekumpulan pelajar tahfiz dan guru dikejutkan dengan insiden ribut yang disifatkan luar biasa apabila sebahagian bumbung yang baharu sahaja ditukar tiga bulan lalu diterbangkan angin.

Lebih mengejutkan, khemah yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram (kg) yang dijadikan tempat meletak kenderaan turut terangkat lebih satu meter ke udara sebelum terbalik ke kawasan bertentangan pusat tahfiz berkenaan.

Pengasas madrasah, Muhammad Amirul Mohd Noor, berkata kejadian ribut itu mengakibatkan kerosakan bumbung dan khemah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM20,000.

“Madrasah ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) dan kami beroperasi sejak sembilan tahun lalu dengan hanya mengharapkan wakaf serta sumbangan daripada orang ramai.

“Pihak pengurusan baharu sahaja menghabiskan wang untuk membaikpulih keseluruhan bumbung tiga bulan lalu di cawangan kami dekat Jalan Bendahara di sini, namun terkejut apabila ia paling teruk mengalami kerosakan akibat ribut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Amirul berkata, selain di Jalan Bendahara, cawangan dekat Bagan Belat yang terletak dalam kawasan sama juga turut mengalami kerosakan pada bumbung.

“Jadi pihak kami memerlukan kira-kira RM20,000 untuk membaiki semua kerosakan yang berlaku dan mengharapkan bantuan mereka yang prihatin demi keselamatan, selain bagi membolehkan pelajar dapat memasuki semula pusat ini untuk belajar seperti biasa.

“Buat masa ini, semua pelajar ditempatkan di sebuah rumah memandangkan madrasah ini tidak dapat diduduki buat sementara kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 56 pelajar tahfiz berusia lapan hingga 17 tahun yang berada di kedua-dua cawangan berkenaan berada dalam ketakutan berikutan kejadian ribut sebelum mereka dibawa ke tempat selamat oleh pihak pengurusan.

Muhammad Amirul berkata, beliau bersyukur tiada kemalangan berlaku dalam insiden itu, selain bimbang bumbung yang diterbangkan angin dikhuatiri terkena penduduk berhampiran kawasan itu.

“Bumbung madrasah ini terangkat dan terbang jauh memasuki kawasan kejiranan di sini yang pada masa itu takutnya hanya Allah sahaja yang tahu.

“Mujurlah tidak terjadi apa-apa dan semuanya selamat,” katanya.

529 dibaca
Berita Harian X