Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:30pm
LAPANGAN Terbang Sibu. FOTO Hiasan.

12 penerbangan dibatalkan, lampu landasan tidak berfungsi

SIBU: Sebanyak 12 penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Sibu, di sini terpaksa dibatalkan hari ini berikutan penutupan landasannya berpunca dari masalah teknikal.

Difahamkan, 10 penerbangan AirAsia dan dua penerbangan MASwings terjejas dalam insiden itu.

Antara penerbangan dibatalkan ialah dari Sibu ke Kuching pada jam 5.25 petang; tiga penerbangan dari Sibu ke Kuala Lumpur, masing-masing pada jam 6.:50 petang, 7.30 malam dan 8.15 malam, selain Sibu ke Miri (8.10 malam) dan Sibu ke Kota Kinabalu (8.25 malam).

Enam penerbangan masuk ke Sibu turut dibatalkan, masing-masing dua dari Kuching dan Kuala Lumpur, selain masing-masing satu dari Miri serta Kota Kinabalu.

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan pembatalan penerbangan itu disebabkan kegagalan lampu di kawasan landasan lapangan terbang itu berfungsi.

Malah, kesemua penumpang AirAsia sudah dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan melalui emel dan dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir memaklumkan kerosakan lampu landasan berkenaan disedari kira-kira jam 3 petang tadi sebelum ia ditutup untuk kesemua operasi penerbangan pada jam 7 petang tadi hingga 6 pagi esok atas faktor keselamatan.

Katanya, langkah penutupan itu juga bagi membolehkan kerja-kerja baikpulih lampu berkenaan dilakukan.

“Keseluruhannya, seramai 1,561 penumpang dan anak kapal yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sibu terjejas susulan insiden ini.

“Pasukan petugas berjaya membaikpulih sebahagian kerosakan itu pada jam 7.50 malam tadi. Lapangan Terbang Sibu dijangka beroperasi seperti biasa mulai pagi esok,” katanya.

1334 dibaca
Berita Harian X