Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:10am
MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengagihkan bantuan awal kepada mangsa ribut di Dewan 2020, Kangar, malam tadi. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Tambahan bantuan RM5,000 untuk mangsa ribut

KANGAR: Kerajaan negeri akan memberikan insentif tambahan sebanyak RM5,000 kepada mangsa ribut tempias Taufan Lekima pada Jumaat lalu sekiranya kos membaik pulih rumah yang terjejas melebihi RM25,000.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata setakat ini RM25,000 adalah jumlah maksimum yang diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada mangsa ribut bagi membina semula kediaman dan ia bergantung kepada tahap kerosakan.

“Sebelum ini, kita menetapkan di dalam mesyuarat bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menanggung sepenuhnya kos membaik pulih rumah yang bernilai di bawah RM5,000, manakala tanggungjawab itu akan diambil alih oleh MAIPs jika kos melebihi antara RM5,000 sehingga RM25,000.

“Jika ia masih belum mencukupi, kita akan ‘top up’, dalam erti kata lain jumlah itu ditambah lagi RM5,000 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM30,000 bagi membina kembali rumah mereka.

“Ini adalah kerana saya dimaklumkan terdapat rumah yang ranap dipukul ribut selain atap dan dinding musnah akibat dihempap pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Kepada Mangsa Ribut di Dewan 2020, di sini malam tadi.

Dalam kejadian Taufan Lekima yang melanda Perlis pada Jumaat lalu, lebih 1,000 buah rumah terjejas dengan daerah Kangar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.

Namun sehingga semalam, kerajaan negeri sudah menerima laporan bahawa jumlah itu meningkat dan menghampiri 1,100 buah rumah dengan anggaran kerugian bernilai hampir jutaan ringgit.

Mengulas lanjut, Azlan berkata dia menjangkakan proses pemberian bantuan kewangan kepada mangsa ribut di negeri itu yang terjejas akan selesai sepenuhnya dalam jangka masa sebulan.

“Jumlah keluarga mangsa ribut yang tampil membuat laporan sehingga semalam (kelmarin) adalah sebanyak 1,079 buah keluarga, namun sehingga kini masih ada laporan baharu yang diterima.

“Bagaimanapun saya menjangkakan ia tidak akan melebihi 1,200 buah keluarga dan sebolehnya kita mahu segala masalah berkaitan ribut ini selesai dalam tempoh 30 hari kerana kita faham keadaan dan situasi mangsa yang terjejas,” katanya.

672 dibaca
Berita Harian X