Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:10pm
KAKITANGAN Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bergotong royong melapah kambing pada program ibadah korban di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing. - Foto Mohd Rafi Mamat

Tabung Korban untuk kakitangan JPNP

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan memperkenalkan Tabung Korban bagi memudahkan kakitangannya menyertai ibadat korban pada tahun hadapan.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata tabung itu diharap dapat membantu lebih ramai kakitangan jabatan berkenaan menyertai aktiviti korban.

“Melalui tabung ini, setiap kakitangan boleh menyimpan atau menyumbang untuk bahagian masing-masing sebelum tiba Aidiladha.

“Kita pun boleh tengok sekarang ini harga untuk satu bahagian korban antara RM500 hingga RM700, jadi apabila ada tabung, mereka boleh bayar secara ansuran ke tabung itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban JPNP di Pusat Latihan Perhutanan Pahang dekat Belimbing, di sini, semalam.

Pada program itu, sebanyak lapan kambing dan dua lembu dikorbankan secara gotong-royong serta diagihkan kepada kakitangan termasuk masyarakat setempat.

Mohd Hizamri berkata, tabung itu akan ditempatkan di semua pejabat perhutanan daerah dan ibu pejabat JPNP dalam masa terdekat.

Katanya, kakitangan yang berminat untuk menyertai ibadat korban tahun hadapan juga boleh memilih untuk membuat potongan gaji secara bulanan ke tabung berkenaan bagi memudahkan urusan.

169 dibaca
Berita Harian X