Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:31pm
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengikuti taklimat pada Forum Perdagangan dan Ekspo Sarawak-Singapura 2019.
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengikuti taklimat pada Forum Perdagangan dan Ekspo Sarawak-Singapura 2019.

Sarawak, Singapura perkukuh hubungan dagang

KUCHING: Singapura diyakini terus menjadi rakan dagang utama Sarawak, dengan lebih ramai komuniti pelabur dari negara jiran itu berhasrat menanam modal dalam pelbagai sektor industri di Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata keyakinan itu bersandarkan pelbagai kelebihan dimiliki Sarawak, termasuk kekayaan sumber bahan mentah, selain pelbagai insentif dan kemudahan ditawarkan kerajaan negeri untuk komuniti pelabur.

“Ini tentunya memberi impak positif terhadap ekonomi negeri bagi tempoh jangka panjang. Hubungan Sarawak - Singapura yang cukup baik juga turut memberi kesan baik terhadap usaha pengukuhan ekonomi negeri.

“Sepanjang 2018, Singapura merekodkan nilai dagangan mencecah RM2.18 bilion dengan Sarawak, malah kita yakin angka itu terus mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi dengan kewujudan pelbagai sektor industri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perdagangan dan Ekspo Sarawak - Singapura 2019 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec di Singapura, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata negeri itu akan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi Singapura dan negara luar lain.

Katanya, perkembangan positif itu turut didorong faktor dasar mesra komuniti perniagaan oleh kerajaan negeri, selain kepelbagaian sumber semulajadi yang dimiliki Sarawak.

“Di Sarawak, kita melaksanakan konsep pembangunan yang terancang, terutama dalam mewujudkan pelbagai kemudahan diperlukan oleh komuniti pelaburan dari dalam dan luar negara.

“Ini termasuk mewujudkan banyak estet atau taman perindustrian yang dilengkapi pelbagai infrastruktur asas bagi memberi kemudahan kepada pelabur, begitu juga insentif lain yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga tidak mahu ketinggalan dalam kemajuan pesat era teknologi digital, khusnya dalam membangunkan sistem telekomunikasi 5G.

Katanya, perkembangan itu berupaya mewujudkan kemudahan telekomunikasi yang lebih cekap dan canggih, selain seiring dengan perkembangan semasa, terutama dalam mendokong Dasar Ekonomi Digital diperkenalkannya.

Berita Harian X