Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:59pm
Sebahagian aktivis alam sekitar dan penduduk Taman Songket Indah berhimpun membantah operasi kilang yang dipercayai memproses sisa plastik secara haram. - NSTP/Muhammad Mustakim Ramli

Aktivis alam sekitar, penduduk desak kilang proses sisa plastik ditutup

SUNGAI PETANI: Lebih 100 aktivis alam sekitar dan penduduk perumahan di Taman Songket Indah, di sini berhimpun membantah operasi kilang yang dipercayai memproses sisa plastik secara haram, petang tadi.

Perhimpunan selama sejam setengah bermula 5.30 petang itu disertai pelbagai golongan masyarakat itu mendesak kerajaan negeri menutup kilang yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini.

Aktivis alam sekitar, Lydia Ong Kok Fooi, berkata mereka hairan bagaimana kilang yang sebelum ini disita, bekalan elektrik dan airnya dipotong tetapi masih boleh beroperasi.

“Kilang ini hanya terletak kira-kira 15 meter dari kawasan perumahan. Bagaimana boleh ada kilang dalam jarak terdekat macam ini?

“Perumahan ini wujud lebih awal dari kilang ini. Kita mempunyai 3,000 penduduk di sini. Kita mahu kerajaan negeri menutup kilang haram ini,” katanya ketika berucap di sini, hari ini.

Katanya, kilang ini bukannya satu-satunya kilang memproses sisa plastik secara haram di Sungai Petani tetapi masih banyak lagi, namun tidak diambil tindakan.

Sementara itu, penduduk, Mohd Nizam Hashim, 53, berkata beliau sekeluarga cukup terseksa sejak kilang berkenaan beroperasi.

“Kami empat beranak iaitu isteri dan dua anak kerap gatal-gatal, demam dan batuk. Pada mulanya kami sangka cara hidup kami tidak sihat.

“Namun, selepas membaca laporan akhbar dan media sosial baru saya tahu ia berpunca dari kilang ini,” katanya yang lebih dua tahun tinggal di perumahan berkenaan.

BH sebelum ini juga pernah melaporkan kualiti udara di bandar ini berada dalam keadaan tercemar dipercayai berpunca daripada beberapa kilang kitar semula.

Malah, penduduk di beberapa kawasan juga mendakwa bau busuk dan kurang menyenangkan itu sering berlaku ketika cuaca berangin dan lebih memburukkan keadaan dalam tempoh masa tertentu bau itu melekat pada barangan di dalam kediaman sekiranya tingkap sentiasa dibiarkan terbuka.

205 dibaca
Berita Harian X