Sabtu, 17 Ogos 2019 | 12:39pm
Maritim Malaysia akan menggunakan kaedah ‘water bombing’ untuk mengawal kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri. - Foto BERNAMA

Kebakaran hutan di Sarawak semakin bertambah

KUCHING: Kebakaran hutan di Sarawak semakin bertambah dengan 17 lagi kes dilaporkan setakat 8 pagi ini menjadikan keseluruhan 494 kes dilaporkan sejak 1 Ogos, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Jumlah kawasan terjejas setakat ini ialah seluas 563 hektar selain dua buah rumah masing-masing di Kampung Sangki, Simunjan dan Kampung Sedi di Pulau Bruit turut terjejas.

“Secara purata, JBPM Sarawak bertindak ke atas 30 kes kebakaran api belukar setiap hari dan untuk hari ini, bahagian Kuching mencatat kes tertinggi dengan lapan kes, diikuti Miri (empat) dan Betong (tiga),” menurut kenyataan JPBM Sarawak.

Antara lokasi yang masih membabitkan operasi sehingga hari ini ialah di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Tanjung Manis yang memasuki hari ke-10, merangkumi keluasan terbakar seluas 40 hektar di mana keluasan berjaya dipadamkan ialah 36.8 hektar.

“Selain itu, Kampung Tuie, Sarabang, Betong memasuki hari ketujuh dengan membabitkan keluasan yang terbakar 26.4 hektar manakala keluasan yang berjaya dipadam ialah 24 hektar,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X