Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:06am
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah ) bergambar dengan Pengarah Eksekutif Country Garden Holdings, Liang Guo Kun (lapad dari kanan) selepas merasmikan Padang Golf Klasik Forest City, di Forest City Golf Resort, Gelang Patah. - Foto Zain Ahmed

Tiada rancangan pembenihan awan di Johor - MB

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor tiada rancangan melakukan pembenihan awan di beberapa kawasan tadahan air utama di negeri ini walaupun mengalami kemerosotan sumber air di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) utama sejak awal bulan lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kerajaan negeri memandang serius penurunan paras air di beberapa empangan di Johor berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara, awal bulan lalu.

Katanya, pemantauan berterusan dijalankan pihaknya dan pengendali perkhidmatan air negeri, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ), bagi memastikan bekalan air buat pengguna mencukupi.

“Setakat ini kita tiada rancangan melakukan pembenihan awan walaupun cuaca kering berterusan menyebabkan paras air beberapa empangan utama susut.

“Keadaan masih terkawal sehingga ini, namun kita maklum mengenai sumber air di bawah paras amaran yang direkodkan di LRA Lok Heng dekat Kota Tinggi.


Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tiga dari kanan) menyaksikan Pengarah Eksekutif Country Garden Holdings, Liang Guo Kun (empat dari kanan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Adib Azhari Daud (tiga dari kiri) melakukan pukulan selepas merasmikan Padang Golf Klasik Forest City, di Forest City Golf Resort, Gelang Patah. - Foto Zain Ahmed

“Kerajaan Johor sudah mengambil tindakan mengepam air dari Empangan Sungai Seluyut, Kota Tinggi dan Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang bagi disalurkan ke kawasan bermasalah.

“Namun, jika cuaca kering berterusan dan paras air di empangan semakin menurun, tindakan termasuk catuan air akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Padang Golf Klasik Forest City, di sini hari ini.

Dr Sahruddin juga kagum apabila mengetahui padang golf berkenaan berjaya disiapkan dalam masa kurang 12 bulan dan yakin ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya industri pelancongan golf.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, dilaporkan berkata beberapa muka sauk atau sumber air LRA di negeri ini berkurangan ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal bulan lalu.

Jimmy dipetik berkata, fenomena cuaca kering yang bermula pada bulan lalu mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot di kebanyakan tempat dan ia boleh menyebabkan beberapa loji rawatan air tidak dapat beroperasi pada kadar biasa.

Berita Harian X