Isnin, 19 Ogos 2019 | 4:24pm
PESAWAH, Kampung Kolam, Mukim Tualang melihat keadaan sawah yang sudah dipenuhi lalang selepas diserang tikus. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Petani berputih mata sawah diserang haiwan perosak

POKOK SENA: Lebih 60 petani di Kampung Kolam, Mukim Tualang, di sini, terpaksa berputih mata apabila kira-kira 30 hektar sawah mereka diserang haiwan perosak pada musim penanaman kali ini.

Serangan dianggap ‘luar biasa’ itu menyebabkan 90 peratus pokok padi musnah sehingga petani terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Petani, Zulkifli Ramli, 42, mendakwa serangan tikus dan haiwan perosak lain seperti burung serta siput gondang berlaku akibat sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik sehingga dipenuhi sampah.

Beliau menyifatkan serangan tikus kali ini paling sukar dikawal kerana haiwan itu bersarang di tepi parit yang dipenuhi sampah.

“Serangan tikus dan burung selalu berlaku pada waktu malam. Haiwan perosak akan makan padi yang baru tumbuh dan meninggalkan hanya beberapa tangkai padi biji saja pada setiap rumpun.

“Sawah saya kira-kira dua hektar juga tidak dapat mengeluarkan hasil, tahun ini, berikutan pokok padi rosak sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM5,000,” katanya ketika ditemui.

Petani muda, Sharul Sham Ramli, 36, berkata selain diserang tikus, sawah di kampung itu juga sering ditenggelami air kerana masalah perparitan.

Beliau mendakwa bagi mengelakkan sawah daripada tenggelam, petani terpaksa menabur benih padi lebih awal daripada jadual ditetapkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kami menjadi serba salah. Jika mengikut jadual, pokok padi kami akan tenggelam. Sebelum ini, tidak ada masalah begini tetapi sekarang lain pula apabila haiwan perosak berleluasa.

“Sebagai petani muda, saya perlu kuatkan fizikal dan mental memikirkan tanaman padi tidak menjadi. Jika dibiarkan masalah ini berlarutan, petani akan terus hidup dalam kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, Dzaher Ahmad, berkata beliau akan cuba membawa isu berkenaan untuk makluman dan tindakan pihak bertanggungjawab.

“Kita akan memaklumkan masalah ini kepada pihak MADA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secepat mungkin kerana ia tidak boleh dibiar sehingga menjejaskan industri padi,” katanya.

275 dibaca
Berita Harian X