Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:51pm

Tindakan tegas pihak memperlekeh Jalur Gemilang - EXCO

JASIN: Kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi serta mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan Jalur Gemilang.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata tindakan tegas itu diambil berdasarkan peraturan sedia ada kerana Jalur Gemilang melambangkan semangat serta aset cukup bernilai yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan dengan cuba memburukkan lagi keadaan seperti insiden Jalur Gemilang yang dipasangkan terbalik.

“Mereka yang tidak sengaja pasang (Jalur Gemilang) terbalik, kita harus didik dan ajar mereka. Namun, ada pula pihak yang sengaja menghangatkan sebagai contoh ada gambar bendera terbalik di Johor pada 2016 yang ditularkan semula.

“Pada saya, apakah tujuan dan niat sebenar mereka. Saya yakin, tiada orang yang mahu kibarkan Jalur Gemilang terbalik,” katanya pada sidang media majlis Perhimpunan Bulanan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta pelancaran #IniRumahKita dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPJ, di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPJ, Mustaffa Ali.

Kok Kiew turut menekankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak hanya sekadar menggantung Jalur Gemilang, sebaliknya bertanggungjawab memantau bendera yang sudah dikibarkan.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak dilaporkan menggantung Jalur Gemilang terbalik termasuk yang berlaku kepada sebuah syarikat pemaju hartanah di negeri ini, di mana sebuah video berdurasi satu minit 19 saat tular di laman Facebook, baru-baru ini.

Bagaimanapun, media melaporkan syarikat berkenaan dipetik sebagai berkata pihaknya terkhilaf dan segera membetulkan semula kedudukan Jalur Gemilang selepas dimaklumkan insiden tidak disengajakan itu.

Dalam pada itu, katanya, masih ada ruang untuk memperbaiki aspek kebersihan di peringkat negeri walaupun Melaka masih mencatat kejayaan sebagai antara negeri terbersih termasuk mendapat penarafan lima bintang dari aspek pentadbiran dan kebersihan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018.

Malah, katanya, semua empat PBT di negeri ini turut mencatat skor purata 90 peratus ke aras dari aspek kebersihan di peringkat majlis pentadbiran.

Kok Kiew (dua dari kiri) memasang Jalur Gemilang pada majlis Perhimpunan Bulanan MPJ serta pelancaran #IniRumahKita dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPJ, di Dewan Alamanda, di Jasin, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman
Kok Kiew (dua dari kiri) memasang Jalur Gemilang pada majlis Perhimpunan Bulanan MPJ serta pelancaran #IniRumahKita dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPJ, di Dewan Alamanda, di Jasin, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X