Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:25pm
Gambar fail, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke kilang Zublin Precast di Kampung Lukut, Kota Tinggi, 14 Ogos lalu. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Bekalan Air Berjadual di Kota Tinggi, Simpang Renggam mulai 2 September depan

JOHOR BAHRU: Bekalan Air Berjadual (BAB) akan dilaksanakan di sesetengah kawasan Kota Tinggi dan Simpang Renggam, bermula 2 September depan.

Ia berikutan sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gembut dan LRA Simpang Renggam terus merosot akibat cuaca panas berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini sejak bulan lalu mengakibatkan kemerosotan pada paras muka sauk atau sumber air mentah di beberapa loji rawatan air.

Katanya, di Kota Tinggi, muka sauk bagi loji rawatan air (LRA) Sungai Gembut dikenalpasti mengalami penurunan paras air mentah sehingga loji berkenaan tidak dapat beroperasi secara normal dengan hanya mampu merawat air bersih pada kadar minimum.

“Maka, pihak pengendali air, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) bercadang melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB) dengan frekuensi ‘24 jam ada bekalan air dan 48 jam tiada bekalan air’ bermula 2 September 2019 di sesetengah kawasan di Kota Tinggi.

“Bekalan air berjadual langkah terpaksa diambil selepas mendapati paras air di Sungai Gembut merosot ke -0.87 meter melebihi paras kritikal iaitu 0.00 meter sekali gus menyebabkan loji hanya mampu beroperasi pada pengeluaran yang paling minimum.

“Di Simpang Renggam pula, LRA Simpang Renggam yang memperolehi sumber air mentah daripada Empangan Machap turut terkesan dengan fenomena cuaca

panas yang melanda. LRA Simpang Renggam membekalkan air di sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-Layang dan Utara Pontian turut mengalami kemerosotan pada paras air di muka sauk iaitu 4.76 meter berbanding di bawah paras kritikal 4.42 meter.

“Empangan Machap adalah sumber air mentah yang menyalurkan air untuk dirawat di LRA Simpang Renggam sebelum diagih kepada kira-kira 25, 894 pengguna bekalan air di sekitar kawasan liputan pembekalan airnya. Paras air mentah di empangan ini adalah 14.63 meter berbanding paras kritikal 14.84 meter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jimmy berkata, bagi mengagihkan bekalan air bersih yang terhad, BAB di Kota Tinggi dibahagi kepada tiga zon iaitu membabitkan 5,246 akaun pengguna di sekitar kawasan liputan LRA Sungai Gembut.

Katanya, ia membabitkan Zon A meliputi Bandar Perani, FELDA Bukit Aping Timur dan Barat, Gembut Cina, PPRT Kampung Sayang dan AADK, Pekan Tanjung Sedili, Kampung Tuan Seh dan Taman Tuan Seh.

“Manakala Zon B termasuk kawasan Sedili Kecil, Kampung Belukar Durian, Telok Mahkota, Resort Sedili Kecil, Kampung Sri Gading Laut & Dalam, Kampung Sri Paya, Kampung Mawai Baru & Lama, Kampung Selangi Batu 9 Jalan Mersing, Jalan Mawai dan Teluk Mahkota.

“Zon C pula membabitkan kawasan Kampung Gembut, Kampung Singapura, Kampung Sentosa, Kampung Teluk Jeri Luar & Dalam, Taman Sedili, Legaran Air Gemuruh, Kampung Sayang, Pekan Sedili Besar, Kampung Teluk, Kampung Perepat, Kampung Semayong, Kampung Nelayan, Kampung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Bukit, Kampung Temala, Kampung Teluk Nyireh, Jeti Che Pong dan Perumahan FELCRA,” katanya.

Jimmy berkata, langkah BAB juga terpaksa dilaksanakan bagi kawasan pembekalan LRA Simpang Renggam bermula 2 September depan dengan frekuensi ‘36 jam ada air dan 36 jam tiada air’.

“Kawasan yang terbabit termasuklah seluruh Jalan Benut, Pontian, Jalan Parit Betak, Benut, Jalan Parit Ismail, Jalan Madirono–Makasar, Jalan Parit Panjang, Sanglang, Ayer Baloi, Pulai Sebatang & sebahagian Api-Api, Mukim Renggam, Mukim Ulu Benut, Mukim Machap (tidak termasuk kawasan pentadbiran daerah Batu Pahat) & sepanjang Jalan Johor - Simpang Renggam.

“BAB hanya akan terbatal sekiranya paras air mentah menunjukkan peningkatan sekali gus membolehkan loji beroperasi pada kapasiti pengeluaran normal dan seterusnya pengguna mula mendapat bekalan air sewajarnya.

“Namun sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual lain akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan semasa pengeluaran LRA,” katanya.

Beliau berkata, jadual BAB dan notis akan turut diedarkan kepada semua pengguna di kawasan yang terbabit sebagai persediaan awal dalam masa terdekat.

Berita Harian X