Rabu, 28 Ogos 2019 | 12:39pm
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Regulatori Hadith, Kamaldin Mohd Damin, (kiri) dan Zaki menunjukkan al-Quran yang dicetak bersama tulisan rumi yang dirampas oleh penguatkuasa PPK KDN. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

KDN rampas 2,996 al-Quran, muqaddam tak ikut peraturan

ALOR SETAR: Sebanyak 2,996 naskhah al-Quran dan muqaddam bernilai RM65,382 dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah bagi tempoh antara tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Zaki Mohamed, berkata rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan agensi itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, premis menjual buku dan gerai kaki lima.

“Naskhah al-Quran dan muqaddam ini dirampas selepas didapati menggunakan tulisan rumi termasuk ada yang dicetak tidak mengikut resam Uthmani seperti diguna pakai Kerajaan Malaysia.

“Semuanya tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), kita harap umat Islam di Malaysia lebih berhati-hati membeli al-Quran kerana dibimbangi akan dibaca dengan bacaan salah, seterusnya membawa makna salah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaki berkata, pihaknya juga akan melupuskan 3,098 al-Quran termasuk al-Quran digital, muqaddam dan bingkai ayat suci berkenaan yang dirampas bermula Disember 2018 hingga Jun lalu.

Katanya, pelupusan itu akan dilakukan dengan cara membakar secara tertutup sebelum abu dilepaskan ke laut.

“Pelupusan ini dilakukan selepas mendapat kelulusan LPPPQ dan kita perlu meminta kerjasama Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melepaskan abunya.

“Kita juga berharap orang ramai yang mahu melupuskan al-Quran dapat menghantar naskhah mereka kepada pihak kami supaya proses pelupusan dapat dilakukan mengikut kaedah digariskan Islam kerana terdapat adab perlu kita hormati,” katanya.

Berita Harian X