Khamis, 29 Ogos 2019 | 2:18pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman. - Foto Zulkepli Osman

RM100,000 baiki PKPP Cherating

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang memperuntukkan lebih RM100,000 untuk membaiki kemudahan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman, berkata selain membaiki dan menaik taraf kolam pameran penyu, peruntukan itu turut membabitkan kerja membaiki bumbung surau.

Katanya, sebelum ini kita sudah membaiki dinding serta lantai ruang pameran hidupan laut yang rosak kerana dimakan anai-anai.

Menurutnya, kerja membaiki kerosakan kini sedang dilakukan kontraktor dilantik dan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk siap sepenuhnya.

“Buat sementara waktu ini ruang pameran hidupan laut yang menempatkan penyu terpaksa ditutup kepada pelancong.

“Kita perlu membaiki kerosakan yang berlaku dengan segera bagi mengelak keadaannya bertambah teruk kerana PKPP Cherating sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pelancong yang berkunjung ke PKPP Cherating masih boleh melihat pusat penetasan penyu sambil mendapat penerangan daripada pegawai bertugas.

Azahari berkata, PKPP melakukan pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan pelancong antaranya acara melepaskan anak penyu ke laut.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap kemudahan serta produk pelancongan di PKPP bagi memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Saya berharap dengan kemudahan yang lebih menarik di PKPP selepas ini ia dapat menarik lebih ramai lagi pelancong,” katanya yang mempelawa agensi kerajaan dan syarikat swasta mengadakan program di situ.

Berita Harian X