Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:13am

Ambang merdeka Terengganu meriah

KUALA TERENGGANU: Sambutan ambang kemerdekaan negara ke-62 disambut meriah apabila lebih 5,000 warga negeri ini membanjiri Dataran Shahbandar di sini, untuk bersama-sama menghitung detik 12 malam.

Program dimulakan pada jam 9 malam tadi dengan ceramah agama, sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada pemenang Pertandingan Foto & Video ‘Terengganu Iconic Drawbridge’.

Turut memeriahkan sambutan ialah barisan EXCO dan pegawai kanan agensi kerajaan negeri.

Detik 12 malam kemudian disusuli dengan percikan bunga api dan laungan merdeka sebanyak tiga kali diketuai Ahmad Samsuri dan nyanyian lagu patriotik.

Terdahulu, warga negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama bersama-sama menghayati amanat Hari Kebangsaan Ke-62 negara oleh Menteri Besar.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya menyeru seluruh masyarakat memperbetulkan ideologi dan mentaliti bagi meningkatkan kesepaduan dan keharmonian rakyat berbilang bangsa dan agama serta tidak bertelagah demi kesejahteraan negara.

ORANG ramai bergambar sambil memegang Jalur Gemilang berlatar belakangkan Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Shahbandar malam ini. 'Sayangi Malaysiaku' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bagi meraikan dan mempertingkat semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia. NSTP/Ghazali Kori
LETUPAN bunga api berlatarkan Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Shah bandar. NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X