Rabu, 4 September 2019 | 3:16pm
Nik Amri bersama biri-biri baka Malin yang diberi nama 'Tapey' selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan biri-biri cantik sempena Karnival Agro Al-Falah di pekarangan Pasar Kampung Laut, Tumpat. - NSTP/Syamsi Suhaimi

'Tapey' biri-biri cantik Kelantan

TUMPAT: Biri-biri baka Malin yang diberi nama ‘Tapey’ dinobatkan sebagai juara pertandingan biri-biri cantik sempena Karnival Agro Al-Falah yang berlangsung di pekarangan Pasar Kampung Laut, di sini, hari ini.

Dalam pertandingan itu, Tapey berjaya menewaskan lapan biri-biri lain dalam kategori jantan dewasa.

Pemilik Tapey, Nik Amri Nasir, 46, berkata kemenangan Tapey yang berusia dua tahun setengah itu sudah dijangka kerana kerap menjadi juara dalam pertandingan yang sama sebelum ini.

“Hari ini adalah kemenangan kelapan buat Tapey dalam pertandingan yang sama di seluruh negeri.

“Selain Tapey, saya membawa seekor lagi biri-biri baka sama iaitu Kumbang Hitam Manis yang mendapat tempat kedua,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nik Amri yang menternak 70 biri-biri dan kambing susu, berkata Tapey dibeli pada dua tahun lalu dengan harga RM3,500 dari seorang penternak di Bachok.

“Penjagaan biri-biri ini tidak rumit, cuma sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan, saya memotong bulu di seluruh badan biri-biri ini dalam tempoh 10 hari sebelum bertanding. Saya hanya membiarkan bulu di bahagian jambul dan dada saja bagi menunjukkan imej jantannya.

“Seluruh tubuhnya disapu pewarna rambut manakala tanduk pula diletakkan minyak kelapa untuk merapikan lagi penampilan biri-biri ini,” katanya.

Katanya, dia pernah ditawarkan sebanyak RM5,000 untuk menjual Tapey namun menolaknya dengan baik.

Berita Harian X