Sabtu, 7 September 2019 | 1:51pm

Dua lagi estet ikan akan ditambah

TEMERLOH: Jabatan Perikanan Pahang akan menambah dua lagi estet ikan iaitu di Kuala Lipis dan Maran menjadikan enam projek berkenaan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman, berkata dua estet terbaharu itu terletak di Kampung Lalang, Kuala Lipis dan Kuala Wau, Maran, mampu menghasilkan pelbagai spesies ikan air tawar bagi menambah pendapatan sampingan komuniti setempat.

Katanya, jabatan itu sedia membantu pihak yang berminat memajukan kawasan paya untuk dijadikan estet ikan di negeri ini.

“Sekarang sudah ada empat estet ikan yang terletak Temerloh iaitu Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Paya Lanar (25 hektar), Estet Ikan Lubuk Kawah (31 hektar) dan Estet Ikan Kelanau- Bangau Tanjung (50 hektar).


Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman. - NSTP/Zulkepli Osman

“Estet ikan dapat menjadi pusat pemuliharaan dan menambah simpanan ikan air tawar selain menjadi lokasi agro pelancongan,” katanya pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar, Lanchang di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Azlisha Abd Aziz, turut dihadiri Pengarah Kanan Biosekuriti Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Husaain dan Pengerusi Estet Ikan Paya Lanar, Mejar Jeneral (B) Datuk Abdul Samad Yaakob.

Pesta yang diadakan setiap dua tahun sekali itu menarik penyertaan lebih 1,200 peserta tempatan dan luar membabitkan aktiviti menangkap pelbagai spesies ikan air tawar menggunakan jala, penyauk dan serkap.


Peserta, Jasmizam Abu Samah berjaya menangkap ikan kap rumput kepala besar pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar, Lanchang di Temerloh, hari ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Antara peserta menangkap ikan menggunakan jala pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar, Lanchang di Temerloh, hari ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Azahari berkata, Estet Ikan Paya Lanar seluas 25 hektar sebelum ini merupakan kawasan sawah padi terbiar milik 30 pesawah sebelum dijadikan estet ikan pada 1984 secara kerjasama.

“Antara spesies ikan air tawar yang terdapat di Estet Paya Lanar ialah lampam jawa, haruan, kap rumput, tongsan, puyu, keli, kaloi dan kap kepala besar,” katanya.

Antara peserta menangkap ikan menggunakan jala pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar, Lanchang di Temerloh, hari ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Berita Harian X