Isnin, 9 September 2019 | 2:12pm
Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii (kiri) memberi penerangan mengenai kebakaran hutan di Matang kepada Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. - NSTP/Mohd Roji Kawi

Kebakaran hutan di Sarawak masih berlarutan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak masih bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan di sembilan kawasan di negeri ini, dengan ada antaranya berlarutan sejak lima hari lalu.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya mengalami kesukaran melaksanakan operasi di beberapa kawasan berikutan kedudukan jauh dari jalan utama, selain faktor tanah gambut yang menyukarkan usaha memadam dilakukan.

Beliau berkata, sembilan kawasan yang masih terbabit dalam operasi pemadaman ketika ini ialah di Ladang Warehouse di Kampung Sedi, Pulau Bruit yang memasuki hari kelima.

“Sehingga hari ini, kawasan yang terbakar seluas empat hektar sudah dipadam dan baki yang masih terbakar di Ladang Warehouse adalah kira-kira 4.5 hektar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kawasan lain yang masih terbabit dalam operasi ialah hutan di Jalan Camar di Matang, Kuching yang memasuki hari keempat, Kampung STC di Sri Aman, Ladang Sawit Tabarok, Sri Aman, Sungai Belian di Rambungan, Kampung Lubuk Buntin di Samarahan, Kuala Baram di Miri, Kampung Pinggan Jaya di Kuching dan Kampung Pemukat di Lawas.

Ling Hii berkata, sejak 1 September hingga hari ini, sebanyak 147 laporan kes kebakaran hutan dan belukar diterima di seluruh negeri ini, membabitkan kawasan terjejas seluas 115 hektar.

“Secara purata, JBPM Sarawak menerima 15 laporan kes kebakaran hutan dan belukar setiap hari sejak 1 September lalu hingga semalam,” katanya.

Kebakaran hutan dan belukar di Sarawak itu turut menyumbang kepada keadaan jerebu teruk yang melanda negeri ini dan diburukkan dengan jerebu rentas sempadan akibat pembakaran terbuka di wilayah Kalimantan, Indonesia.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 12 tompok panas dikesan di negeri ini iaitu empat di Serian, Kuching (tiga), Sri Aman (dua) Bintulu (dua) dan Miri (satu).

Wilayah Kalimantan masih mempunyai 426 tompok panas dan Sumatera sebanyak 350 manakala Brunei tiada lagi dikesan selepas mempunyai satu titik panas semalam.

Berita Harian X